Bismillahirrahmanirrahim

Abu Ubaidah Al-Jarrah merupakan sahabat nabi dan perawi hadis yang terkemuka. Beliau mempunyai keperibadian mulia, jujur, tawadu’ dan pemalu. Bagaimanapun, di sebalik sikap pemalu itu, tersemat semangat juang kental dan tinggi di jiwanya. Rasulullah pernah berkata “Setiap umat ada penjaga amanahnya dan penjaga amanah bagi umatku adalah Abu Ubaidah Al Jarrah“. Beliau pernah mengeluarkan besi yang tertusuk di pipi Rasulullah dalam peperangan Uhud menggunakan mulutnya.

Selepas Rasulullah wafat, nama beliau antara yang disebut untuk menggantikan Rasulullah sebagai khalifah selain Abu Bakar dan Umar. Malah Abu Ubaidah juga merupakan pilihan pertama Saidina Umar untuk menggantikan beliau sebagai khalifah umat Islam jika beliau meninggal dunia. Tetapi hajat Umar tidak kesampaian kerana Abu Ubaidah meninggal akibat penyakit taun di Syam.

Teaser Adawina & Suhaimi, Cheras

Ketika penyakit taun menyerang Syam (Syiria), hampir 20,000 penduduk telah meninggal dunia akibat penyakit berjangkit tersebut. Abu Ubaidah ketika itu baru membebaskan Baitul Muqaddis daripada Rom bersama tenteranya berada di Syam. Banyak tenteranya mati akibat penyakit taun tersebut.

Saidina Umar berasa risau tentang keselamatan Abu Ubaidah telah mengutus surat kepadanya di Syam supaya pulang ke Madinah. Antara kandungan surat tu berbunyi “Jika engkau membaca surat ini, pulanglah ke Madinah kerana ada perkara yang ingin aku tanyakan“. Namun Abu Ubaidah dapat membaca niat Umar tersebut yang risau keselamatannya.

Lalu Abu Ubaidah membalas surat tersebut yang mengatakan beliau tidak akan meninggalkan tenteranya di Syam dan mengingatkan tentang hadis Rasulullah yang tidak membenarkan seseorang itu meninggalkan kawasan penyakit berjangkit jika telah berada di dalamnya. Saidina Umar mengangis ketika terima surat tersebut hingga ramai menyangka Abu Ubaidah telah meninggal dunia.

Tidak lama selepas itu, beliau juga dijangkiti penyakit taun dan meninggal dunia ketika berusia 58 tahun. Ada yang mengatakan beliau sendiri mohon kepada Allah agar terkena penyakit taun itu sebab ramai tenteranya telah mati. Sumbangannya kepada agama Islam sangat besar. Abu Ubaidah al-Jarrah dikenang membawa beberapa teladan yang sangat berkesan kepada seluruh umat Islam. Mudah-mudahan ramai tahu serba sedikit tentang sahabat besar nabi ini. Wallahua’lam.

Wassalam.

Thanks for Comments