Cerita batasan aurat pengantin

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, aku baru kebah dari demam. Mungkin ujian Allah nak hapuskan dosa-dosa lepas aku yang banyak. Rasa agak lama tak update full entry sebab kesibukan di kantor. Sebenarnya aku nak cerita sikit tentang batasan aurat bagi pasangan pengantin yang baru mendirikan rumah tangga. Mudah-mudahan boleh jadi pahala untuk aku bila mati kelak.

Memang secara lumrah dan kebiasaan masyarakat kita ramai tidak bersalaman/bersentuhan lelaki dan perempuan yg bukan mahram. Namun perkara ini benar-benar diuji ketika majlis perkahwinan dan selepasnya. Ketika pengantin bersanding di atas pelamin, saudara mara yang datang tersebut bukan semuanya boleh bersentuhan dengan kita dan pasangan.

Norsholaty & Nazim, Kanchong Darat, Banting

Di kalangan pakcik, makcik, sepupu dan saudara mara yang hadir, hanya kita yang tahu mereka boleh bersalam dengan isteri/suami kita ataupun tidak. Jadi aku rasa perkara ini juga perlu dimasukkan dalam perbincangan sebelum majlis kahwin. Perkara ini walaupun nampak remeh ia melibatkan hukum dan implikasi dosa dan pahala.

Sebenarnya ia bukan setakat boleh bersalaman/bersentuhan, ia juga lebih luas iaitu boleh membuka aurat di hadapan mereka semua jika mahram. Kalau nak cerita bab ni memang panjang lebar. Tapi gambar rajah di bawah boleh jadi panduan kepada kita semua secara ringkas. Suami dan isteri kena jelas tentang perkara ini.

GAMBAR FULL : MAHRAM BAGI SEORANG WANITA MUSLIM

Bagi seorang lelaki, ujian paling besar sebenarnya apabila berada di rumah orang tua kita. Ramai menyangka hukum ini tidak terpakai kerana mereka keluarga kita. Tetapi tanpa sedar adik beradik suami juga tidak boleh melihat aurat isteri kita mahupun bersentuhan dengan mereka selagi dia menjadi isteri kita. Suami juga akan menanggung semua dosa-dosa isteri tersebut jika tidak berusaha menjaganya.

Ringkasnya :
– Adik beradik suami TIDAK BOLEH lihat aurat isteri apatah lagi bersentuhan.
– Sepupu BUKAN mahram. Boleh berkahwin dengan mereka. Jadi aurat kena jaga seperti biasa.
– Bila isteri masuk dalam keluarga suami, dia HANYA boleh bersalam dengan semua ahli keluarga perempuan sahaja + bapa mertua. Selain daripada itu TIDAK BOLEH.

Ada sebab Islam gariskan mahram untuk kita semua. Garis panduan ini bertujuan untuk menjaga keharmonian keluarga dan kesucian setiap insan. Mudah-mudahan kita berusaha ke arah itu dan bagi pasangan yang akan mendirikan rumah tangga perlu ambil berat tentang perkara ini. Begitu juga bagi pasangan yang telah berkahwin boleh perbaiki perkara ini. Semoga Allah berikan pahala yang besar bagi sesiapa yang menjaga urusan aurat ini. Wallahua’lam.

Wassalam.

Thanks for Comments