Panggilan agung haji

Bismillahirrahmanirrahim



Aku masih ingat semasa kecil dulu, pengalaman menghantar arwah atuk yang mendapat panggilan haji. Ketika itu zaman 80an. Jarang benar orang kampung dapat pergi menunaikan ibadah haji. Sebelum berangkat naik kenderaan ke Kelana Jaya, bilal surau berdekatan mengalukan azan. Mendayu-dayu suaranya. Ramai saudara mara termasuk orang kampung menangis kerana mungkin ia pertemuan terakhir dengan atuk. Ketika itu atuk memang dah agak tua dan uzur. Berjalanpun menggunakan tongkat. Aku memandang tanpa mengerti apa-apa.

Teaser wedding Ain & Hanafi, Cheras


Alhamdulillah tahun ni hampir 10 orang yang aku kenal berangkat menunaikan haji. Rukun Islam kelima. Dalam gembira memang ada timbul perasaan iri hati sebenarnya. Iri hati sebab masih kurang kemampuan ke sana sekarang. Kekadang aku terfikir, orang yang berkata “Belum dapat seru..”,”Duit tak cukup lagi..” dan lain-lain tu benar-benar maksudkan ataupun sekadar melepaskan diri atau bertangguh untuk ke sana. Wallahua’lam.

Baru-baru ni dalam satu kuliah, ustaz tu cerita tentang ibadah haji. Katanya “Jangan cari alasan terutamanya alasan tiada duit. Berapa kamu bayar bil astro, bayar bil telefon+broadband, bayar kereta, bayar rumah dalam sebulan?“. Semua terdiam. “Apa tujuan hidup kamu? Adakah rumah besar dan kereta mewah itu satu keperluan hingga ia menjadi penghalang kewangan untuk menunaikan haji?!“. Ramai tunduk ke bawah. “Apa nak bagi alasan kat Allah bila kita mati tiba-tiba, harta kita banyak, rumah kita besar, kereta kita selesa dan mewah, tapi pergi HAJI pun tak mampuu?!!“. Ada air mata menitik.

Balik tu aku buat kira-kira ringkas. Sebenarnya, kalau kita simpan RM200 sebulan. Dalam masa 4 tahun 2 bulan kita dah boleh pergi menunaikan kawajipan haji tersebut. Insyaallah kalau kita sama-sama tanam azam kita mampu ke sana. Aku terfikir istilah ‘cukup’ tu yang tentukan diri kita atau Allah. Tak perlu jawab atau bagi alasan kepada orang lain, cubalah bagi alasan kepada Allah. Wallahua’lam.




Nota kaki : Kos menunaikan haji tahun ni masih kekal sama untuk Muassasah (Tabung Haji) iaitu RM9,980 seorang untuk kali pertama. Pendaftaran Haji boleh dibuat kalau minimum simpanan tabung haji ada RM1,300. Kalau lebih jumlah minima boleh tulis surat kat TH, insyaallah boleh pergi tahun depannya. Kalau guna pakej start dari RM18,500 dan ke atas. Cukup duit boleh terus pergi tahun tu juga, insyaallah.




Wassalam.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe