Rezeki dari Allah

Bismillahirrahmanirrahim


Semasa balik kampung dalam cuti Tahun Baru Cina yang lepas, aku berjumpa dengan beberapa orang kampung yang menaiki motor buruk ke kebun untuk kerjakan kebun kelapa sawitnya. Mungkin lumrah orang yang hidup di bandar rasa kasihan terhadap orang-orang kampung tersebut. Tapi semasa borak-borak ngan seorang sahabat yang bekerja sepenuh masa memetik kelapa sawit, hakikatnya ekonomi mereka jauh lebih baik dari kebanyakkan orang-orang yang kerja di bandar.

Teaser Kepten Fahmi & Aimi, Semenyih.


Masakan tidak, dengan mengerjakan kebun sawit seluas 6 ekar boleh mendapat hampir 10 tan hasil sawit dalam tempoh 2 minggu. Kalau diterjemahkan kepada ringgit, pendapatan mereka boleh mencecah RM10,000 sebulan. Berapa ramai antara kita dapat pendapatan sebanyak itu? Kalaupun ada, berapa pula kita kena bayar rumah dan kereta setiap bulan selama berpuluh tahun hidup di bandar. Berbanding mereka, ada tanah luas, rumah besar tetapi bayar ansuran bulanan kepada bank RM150 sebulan, kereta dah abis bayar dan banyak masa senggang bersama keluarga. Siapa lebih kaya?

Rezeki ini kerja Allah. Allah boleh memberikannya dengan keberkatan ataupun tidak. Ada yang diberikan rezekinya banyak tetapi hidupnya tidak pernah tenang, hatinya sering gelisah dan rasa kekurangan. Rumah besar tetapi sering takut pencuri merompak hartanya. Ada yang pendapatan sederhana, rumahnya sederhana, tetapi keluarganya bahagia. Hatinya tenang, fikirannya bebas. Itulah ‘rezeki sebenar’ dari Allah. Semoga kita lebih bersyukur dengan rezeki Allah yg diberikan sekarang. Mudah-mudahan Allah tambah keberkatan pada harta kita. Wallahua’lam.



Nota kaki : Tunggu update full entry majlis kat atas ni nanti ye:)



Wassalam.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe

Dakwah Seorang Jurugambar

Bismillahirrahmanirrahim


Salah satu perkara yang aku selalu buat bila selesai shoot satu majlis nikah ialah mendoakan kedua pasangan pengantin tersebut. Aku percaya ia beri aku satu semangat dan dapat menjadikan majlis tersebut lebih berkat. Memang ia cuma majlis biasa. Tetapi dalam agama kita, ia memberi makna dan maksud yang sangat mendalam kepada hubungan yang menjadi halal dengan lafaz pernikahan tersebut. Hubungan yang membawa seorang manusia mudah ke syurga sekiranya hak dan tanggungjawab dilaksanakan dengan baik.

Teaser Nashriq & Emy, Bandar Baru Bangi.



Dalam tazkirah yang aku dengar sebentar tadi, ustaz mempersoalkan kalau kita mati hari ini dan ditanya apa sumbangan kita kepada agama Islam, apa jawapan kita? Semua terdiam. Sebenarnya cara termudah kita sebarkan kebaikan kepada orang lain adalah semasa kita bekerja seharian. Tidak perlu menilai dan menghakimi penerimaan orang. Sebagai seorang muslim setiap dakwah yang dilakukan walaupun kecil pasti ada nilai disisi Allah.

Aku tahu ramai jurugambar dipandang serong oleh sesetengah orang. Terutamanya bila beliau memaparkan gambar yang menyalahi tatasusila dan norma kita sebagai seorang muslim. Kalau tanya aku, kita doakanlah yang terbaik untuk mereka. Aku percaya gambar yang menggambarkan detik-detik kebahagiaan yang dirakam tanpa melanggar batasan syariat akan jadi pengerat kasih sayang pasangan tersebut pada masa akan datang.

Ketika hubungan menjadi dingin ia mampu hangatkan kembali kasih sayang. Ia juga dapat merangsang kebahagiaan keluarga bila melihat dan mengenangnya bersama-sama kelak. Kalaulah gambar tersebut jadi penyebab rumahtangga tersebut lebih baik, mungkin ada ‘bahagian’ untuk aku. Aku memang bukan orang yang layak dan baik untuk memberi nasihat kebaikan kepada semua. Jauh sekali nak bercakap dihadapan ramai orang. Mungkin ni sumbangan kecil yang aku boleh bagi melalui sedikit kemahiran yang aku ada. Wallahua’lam.


Wassalam.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe

Tazkirah : Abdurrahman bin Auf

Bismillahirrahmanirrahim


Satu hari Abdurrahman bin Auf tiba lewat di Masjid untuk solat Jemaah. Beliau solat masbu’ di belakang makmum lain. Usai solat, Rasulullah menghampiri beliau dan bertanya sebab beliau tiba lewat. Abdurrahman berkata, “Rasulullah, aku sibuk menguruskan perniagaan yang semakin berkembang”. Kemudian ada riwayat mengatakan Rasulullah berkata bahawa Abdurrahman akan dijamin masuk syurga tetapi dalam keadaan merangkak sebab hartanya yang terlalu banyak.

Teaser Syahrul Asri & Norhafizah, Bukit Changgang, Banting.


Mendengar kata-kata Rasulullah itu beliau berasa perlu memperbaiki amalannya lagi. Beliau telah memberikan sumbangan yang sangat besar dari sudut kewangan terhadap perkembangan agama Islam ketika itu di Madinah. Ketika peperangan Tabuk, Islam sangat memerlukan dana dan Abdurrahman memberikan hampir keseluruhan hartanya ke jalan Allah. Sehinggakan Umar berbisik kepada Rasulullah “Mungkin Abdurrahman berdosa sebab tidak meninggalkan sesuatu pun untuk keluarga beliau”.

Apabila ditanya oleh Rasulullah, beliau berkata “Ya Rasulullah. Mereka saya tinggalkan lebih banyak dan lebih baik dari pada yang saya sumbangkan. Iaitu rezeki kebaikan dan upah yang dijanjikan Allah”. Subhanallah. Ternyata sikap pemurahnya itu tidak menjadikan dia miskin. Malah diriwayatkan selepas itu, perniagaannya bertambah maju dan menjadi orang paling kaya di Madinah.

Ujian Allah terhadap manusia ni berbeza-beza. Ujian yang paling susah dan besar sebenarnya adalah ujian kenikmatan. Contohnya kecantikan, tinggi ilmunya, kekayaan berlimpah ruah dan sebagainya. Sebab sikap manusia memang sentiasa berasa kurang dengan nikmat sedia ada. Cubalah bayangkan apa yg kita akan lakukan bila dapat RM1 juta sekarang. Apa kita nak buat? Tiba-tiba kita rasa ia tidak mencukupi walaupun kita belum dapat lagi duit tersebut. Itulah sikap manusia. Wallahua’lam.



Nota kaki 1 : Selamat tahun baru 1433H. Jangan lupa baca doa awal dan akhir tahun esok ye.

Nota kaki : Ada beberapa IP yg tak dapat buka blog ni kebelakangan ni. Kalau ada bagitau aku ye. Ada masalah sikit kat hosting. Mohon maaf ye.




Wassalam.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe

Kisah Haji Rasulullah

Bismillahirrahmanirrahim


Aku nak kongsi kisah Haji Rasulullah yang aku dengar semasa kuliah di masjid semalam. Sebenarnya sepanjang hidup Rasululah, baginda hanya pernah melakukan ibadah Haji sekali sahaja. Baginda melakukan ibadah haji ketika baginda berumur 60 tahun. Haji tersebut dikenali sebagai Haji Wida’ atau Haji Wada’ iaitu haji perpisahan. Pada waktu itulah Rasulullah menyampaikan khutbah terakhir baginda sebelum baginda wafat tahun berikutnya ketika berusia 63 tahun.

Teaser Sufyian & Feeza, Petaling Jaya.


Pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah baginda bertolak dari Madinah ke Mekah bersama 24,000 orang untuk menunaikan Haji. Mereka mengambil masa 9 hari untuk sampai ke kota Mekah. Ia satu perjalanan yang sangat jauh (400km). Berbeza dengan perjalanan sekarang yang hanya makan masa 7-8 jam menaiki bas. Kemudian mereka menuju ke Arafah pada pagi 9 Zulhijjah pada hari Jumaat untuk wukuf.

Ketika masuk waktu zohor sebelum masuk Arafah, baginda berhentikan unta baginda (Al-Qashwa’) di satu tempat yang tinggi di Namirah. Di situlah baginda menyampaikan khutbah terakhir (Wida’). Khutbah tersebut macam satu amanat terakhir Rasulullah sebelum meninggalkan dunia ini selama-lamanya. Rasulullah memulakan khutbah dengan mangatakan “Sesungguhnya aku tidak tahu apakah aku masih akan bertemu dengan kamu di tempat wuquf ini sesudah tahun ini…”. Full khutbah Wida’ di sini.

Khutbah tersebut memang ditujukan kepada semua umat Islam termasuk kita semua. Untuk makluman, esok jemaah haji seramai 3.5 juta orang akan berada di padang Arafah untuk tunaikan rukun Haji kedua. Kita yang berada di sini seharusnya mengambil semangat tersebut. Disamping itu, simpan azam untuk ke sana dan berusaha laksanakan ibadah korban yang sangat dituntut Islam. Mudah-mudahan satu hari nanti kita dapat berjumpa Rasulullah selepas kita mati nanti. Wallahua’lam



Nota kaki : Selamat Hari Raya Aidiladha dan selamat berkorban untuk semua pembaca blog ni. Hati2 di jalan raya ketika pulang ke kampung :) Semoga semuanya sentiasa dilindungi Allah.



Wassalam.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe

Panggilan agung haji

Bismillahirrahmanirrahim



Aku masih ingat semasa kecil dulu, pengalaman menghantar arwah atuk yang mendapat panggilan haji. Ketika itu zaman 80an. Jarang benar orang kampung dapat pergi menunaikan ibadah haji. Sebelum berangkat naik kenderaan ke Kelana Jaya, bilal surau berdekatan mengalukan azan. Mendayu-dayu suaranya. Ramai saudara mara termasuk orang kampung menangis kerana mungkin ia pertemuan terakhir dengan atuk. Ketika itu atuk memang dah agak tua dan uzur. Berjalanpun menggunakan tongkat. Aku memandang tanpa mengerti apa-apa.

Teaser wedding Ain & Hanafi, Cheras


Alhamdulillah tahun ni hampir 10 orang yang aku kenal berangkat menunaikan haji. Rukun Islam kelima. Dalam gembira memang ada timbul perasaan iri hati sebenarnya. Iri hati sebab masih kurang kemampuan ke sana sekarang. Kekadang aku terfikir, orang yang berkata “Belum dapat seru..”,”Duit tak cukup lagi..” dan lain-lain tu benar-benar maksudkan ataupun sekadar melepaskan diri atau bertangguh untuk ke sana. Wallahua’lam.

Baru-baru ni dalam satu kuliah, ustaz tu cerita tentang ibadah haji. Katanya “Jangan cari alasan terutamanya alasan tiada duit. Berapa kamu bayar bil astro, bayar bil telefon+broadband, bayar kereta, bayar rumah dalam sebulan?“. Semua terdiam. “Apa tujuan hidup kamu? Adakah rumah besar dan kereta mewah itu satu keperluan hingga ia menjadi penghalang kewangan untuk menunaikan haji?!“. Ramai tunduk ke bawah. “Apa nak bagi alasan kat Allah bila kita mati tiba-tiba, harta kita banyak, rumah kita besar, kereta kita selesa dan mewah, tapi pergi HAJI pun tak mampuu?!!“. Ada air mata menitik.

Balik tu aku buat kira-kira ringkas. Sebenarnya, kalau kita simpan RM200 sebulan. Dalam masa 4 tahun 2 bulan kita dah boleh pergi menunaikan kawajipan haji tersebut. Insyaallah kalau kita sama-sama tanam azam kita mampu ke sana. Aku terfikir istilah ‘cukup’ tu yang tentukan diri kita atau Allah. Tak perlu jawab atau bagi alasan kepada orang lain, cubalah bagi alasan kepada Allah. Wallahua’lam.




Nota kaki : Kos menunaikan haji tahun ni masih kekal sama untuk Muassasah (Tabung Haji) iaitu RM9,980 seorang untuk kali pertama. Pendaftaran Haji boleh dibuat kalau minimum simpanan tabung haji ada RM1,300. Kalau lebih jumlah minima boleh tulis surat kat TH, insyaallah boleh pergi tahun depannya. Kalau guna pakej start dari RM18,500 dan ke atas. Cukup duit boleh terus pergi tahun tu juga, insyaallah.




Wassalam.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe

Catatan Ramadan 5 : Lau kana Bainana

Bismillahirrahmanirrahim



Pada satu hari, ketika Rasulullah sedang berehat di rumahnya, ada seorang arab Badwi yang membuat persembahan dengan tarian di dalam masjid sambil dikelilingi orang ramai. Lalu Rasulullah memanggil Aisyah sambil berkata “Humairah, mahukah engkau melihat persembahan tersebut?” Aisyah gembira dan bersetuju. Lalu baginda bersama Aisyah bersama menonton persembahan arab Badwi tersebut.

Diriwayatkan, Aisyah meletakkan dagunya dibahu Rasulullah dari belakang sambil menonton persembahan tersebut. Hingga pipinya bersentuhan dengan pipi Rasulullah. Setelah beberapa ketika Rasulullah bertanya “Adakah kamu telah selesai?” Aisyah menggelengkan kepalanya. Kemudian selepas beberapa ketika Rasulullah bertanya lagi “Adakah kamu telah puas melihat persembahan itu?” Aisyah masih lagi mahu melihat persembahan tersebut.

Kemudian masuk Umar Al-Khattab ke dalam masjid. Apabila beliau melihat orang Arab Badwi tersebut menari-nari dalam masjid beliau mengambil seketul batu dan mahu balingkan kepada orang tersebut. Lalu Rasulullah menegahnya sambil berkara “Biarkan mereka (orang badwi) Umar. Aku tidak mahu masjid menjadi seperti rumah Yahudi..”

Banyak kita boleh ambil pengajaran dari kisah tersebut. Peranan masjid itu luas. Rasulullah tidak menghalang orang Badwi tersebut melakukan persembahan dalam masjid, malah bersama-sama Aisyah menyaksikannya. Baginda juga melarang Umar melakukan kekasaran terhadap mereka. Rasulullah tidak mahu masjid menjadi seperti rumah ibadah yahudi ketika itu yang fungsinya semata-mata untuk beribadah.

Lihat juga akhlak Rasulullah terhadap isterinya, Aishah. Kalaulah Rasulullah ada dikalangan kita sekarang, apa reaksi Rasulullah apabila melihat keadaan kita umat Islam sekarang?

Nota kaki: Aku suka tengok cerita ‘Lau kana Bainana’ kat TV Al-Hijrah 114 setiap hari jam 5:30 pagi (sahur-ulangan). Program realiti kat arab yang tengok sejauh mana umat Islam sekarang masih mengamalkan sunnah Rasulullah. Intro cerita tu.




Wassalam.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe

Catatan Ramadan 2 : Al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim



Selepas tadarus, aku selalu berborak-borak kosong dengan imam di masjid qariah aku. Dia sering bercerita tentang pengalamannya tinggal di Mesir selama beberapa tahun melanjutkan pelajaran. Apa yang menarik perhatian aku ialah ceritanya tentang suasana dan budaya penduduk negara tersebut apabila tiba bulan Ramadan terutamanya melibatkan Al-Quran.

Beliau menceritakan bila tiba bulan Ramadan, kebanyakkan orang sana sini memegang Al Quran di tangan. Sama ada dalam bas, di tepi-tepi jalan, di pasar-pasar semuanya membaca Al-Quran. Termasuklah mat mat rempit pun membaca Al-Quran di atas motornya. Boleh lihat peniaga-peniaga menanti pelanggan sambil membaca Al-Quran dan polis-polis yang menjaga keamanan juga turut membaca Al-Quran walaupun semasa berdiri. Subhanallah.

Dia pun menjadi bersemangat dan biasanya dapat khatam quran beberapa kali semasa bulan Ramadan. Tetapi budaya tersebut tiada di negara kita. Maksudnya amat jarang kita nampak orang membaca Al-Quran dalam LRT, bas, komuter, dalam kereta, shopping complex dan sebagainya. Ada tapi sangat jarang dilihat. Kalau ada, biasanya orang sekeliling akan pandang semacam. Bukan non-muslim tapi orang Islam sendiri. Mesti ada yang berkata “Alaa, macamlah baik sangat. Akupun baca Quran tapi takdelah nak menunjuk-nunjuk baca kat tempat awam”. Sedih, tapi itulah cara berfikir dan budaya masyarakat kita sebenarnya.

Hinggakan orang yang berbuat baik sering dipersoal dan dinilai keikhlasannya, selalu dipandang serong dengan melabel mereka menunjuk-nunjuk dan sebagainya. Walhal kalau orang yang berbuat maksiat tiada pula orang mengambil kisah. Budaya apa ini? Tahukah antara sebab Allah menghalang bala bencana turun ke sesebuah negara adalah adanya orang-orang beriman yang taat kepada Allah. Sekiranya mereka tiada, mungkin banyak bencana yang turun kepada kita semua. Wallahua’lam.


Nota kaki: Jangan lupa membayar zakat fitrah. Boleh buat bayaran melalui SMS je sekarang :) KLIK SINI UNTUK INFO LANJUT




Wassalam.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe

Kisah tentang Intan

Bismillahirrahmanirrahim



Aku ada satu cerita nak kongsi. Ada seorang wanita yang mempunyai 3 orang anak kecil. Intan namanya. Beliau memandu kereta kancil setiap hari ke tempat kerja. Satu hari dalam perjalanan pulang ke rumah dengan gembira untuk berjumpa dengan anak-anaknya, tiba-tiba ada sebuah kereta dari arah berhadapan yang memotong dan tidak sempat mengelak kereta Intan. Mereka bertembung secara berhadapan.

Intan meninggal dunia di tempat kejadian. Beliau meninggalkan suami dan 3 orang anaknya yang masih kecil. Sedih bukan, tapi sebenarnya ia adalah kisah benar. Sekarang cuba bayangkan orang yang memotong dari arah hadapan itu adalah kita dan kita hanya luka ringan dalam kemalangan tersebut kerana kita naik kereta yang lebih baik. Ada beg udara dan ciri keselamatan yang lebih baik.


Ida

Teaser wedding Saipi & Dr Yuhanis, Jalan Kebun



Apa yang aku cuba sampaikan ialah adakalanya kita membawa kenderaan dengan laju dan tergesa-gesa untuk sampai ke destinasi walau apapun alasannya. Ada masanya kita rasa selamat kerana yakin dengan kemahiran memandu dan kereta kita. Tetapi jangan lupa, ada masanya Allah nak bagi pengajaran kepada kita. Sekelip mata kita menyebabkan orang lain terbunuh akibat kecuaian kita.

Bukan setakat itu, orang itu mungkin individu yang penting dalam keluarganya. Mungkin mereka ketua keluarga atau ibu kepada 5 orang anak kecil. Mungkin juga mereka seorang ketua yang baik dalam syarikatnya. Atau mungkin beliau seorang doktor, ulama dan pemimpin yang penting kepada masyarakat kelilingnya.

Dengan menyebabkan kematiannya kita telah menyukarkan kehidupan ramai orang lain. Kehilangan yang sangat besar kepada orang lain. Kita sebabkan anak kecil membesar tanpa ibu dan bapa. Kita menyebabkan ibu bapa hilang seorang anaknya yang paling baik. Kita sebabkan ilmu agama hilang dengan kematian orang alim dsb. Bagaimana rasanya hidup dengan rasa bersalah begitu? Jadi, berfikir sebelum bawa laju dan pentingkan diri. Bayangkan anda langgar bapa, adik atau kakak anda sendiri ketika bawa kereta laju. Wallahua’lam.


Nota kaki:Macam biasa aku bizi di kantor. Keadaan kesihatan akupun tak berapa baik. Doakan aku sihat-sihat je. Ada 3 full entry aku berhutang kat sini. Dah siap cuma tak sempat nak publish. Tunggu ye.



Wassalam.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe