Bahagia dan membahagiakan

Bismillahirrahmanirrahim


Alhamdulillah, kita semua masih lagi mampu bernafas dan meneguk pinjaman kasih Allah yang tidak henti-henti mencurah. Baru-baru ni aku ada menghadiri satu seminar ‘Bahagia dan membahagiakan’ yang dianjurkan oleh Prof Dr Muhaya. Banyak aku nak kongsi kepada semua supaya kita sama-sama dapat jadi seorang insan yang positif dan lebih baik dalam hidup. Tapi hari ni aku nak cerita satu ciri sahaja iaitu berhenti mencari penghargaan manusia.

Teaser Syida & Faiz, Banting.


Kadangkala punca kita tidak bahagia dalam hidup kerana tenaga, masa dan semua yang kita lakukan dalam hidup banyak ditumpukan untuk mencari penghargaan manusia. Kita risau apa yang orang kata sehingga kita lupa tujuan hidup dan bersyukur dengan apa yang kita miliki. Kita beli kereta mahal, rumah besar dan beli barangan berjenama walaupun jujurnya kemampuan kita tidak sampai ke tahap itu. Semua itu semata-mata nak menunjuk kepada orang lain kita seorang yang bahagia dan hebat. Kita risau orang berkata kita seorang yang kurang berkemampuan.

Apa tujuan beli banyak handbag dan kasut berjenama? Betulkah ia satu keperluan atau mereka sebenarnya sedang mencari pujian dan penghargaan manusia bila memakainya. Lebih malang lagi, orang yang dia nak tunjuk tu bukanlah orang yang dia sukapun. Sebab itulah ramai manusia yang merasakan bahagia itu apabila memiliki sesuatu yang mereka idamkan. Tetapi bila mereka memiliki semua yang mereka mahu, bahagia itu masih belum dirasainya.

Adakah hidup kita sekadar mencari kepuasan bila dapat memiliki sesuatu yang orang lain tidak ada dan mampu? Berasa hebat dan gah dengan sedikit kelebihan yang Allah beri. Percayalah, sampai satu tahap nanti kita akan sedar, kita kepenatan kerana mencari kebahagiaan palsu itu. Namun ketika itu mungkin dah terlewat kerana badan kita telah dimamah usia, kesihatan makin kurang dan amalan masih sedikit. Siapa lagi kita nak impress pada waktu itu?




Nota kaki : Minggu yang sibuk dah hampir berakhir. Tunggu aku update majlis kat atas ni juga nanti ye :)



Wassalam.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe

Berkahwin semasa belajar?

Bismillahirrahmanirrahim



Hari tu aku ada dengar satu tazkirah dan perbincangan tentang berkahwin semasa belajar diusia muda. Ada satu pendapat yang mengubah cara aku memandang perkara itu. Sebelum ni aku beranggapan sebelum kita berkahwin sekurang-kurangnya kita dah bersedia untuk menyediakan keperluan asas kepada bakal isteri seperti tempat tinggal dan nafkah untuk sama-sama menjalani kehidupan berumahtangga. Tapi sekarang aku dah tidak fikir begitu selepas mendengar tazkirah tersebut.

Teaser Hanif & Nailah, Rawang.


Ustaz tersebut bagitau kalau kedua-dua pasangan tu masih belajar, cukup syarat dari sudut Islam untuk bernikah maka nikahkan sahaja. Itu adalah perkara yang wajib. Majlis itu hanya sekadar sunat dan bukan menjadi syarat untuk berumahtangga. Tetapi memandangkan lelaki tersebut masih belum mempunyai pekerjaan, maka tanggungjawab untuk memberi nafkah masih belum menjadi beban beliau. Maksudnya keluarga kedua-dua pasangan ini masih lagi mempunyai kewajipan seperti mereka sebelum berkahwin.

Pasangan ini masih lagi tinggal bersama keluarga dan sesekali boleh berjumpa sebagai suami isteri pasangan yang sah. Jika kita menimbang perkara ini secara objektif dan waras kita akan dapati langkah ini merupakan solusi bijak bagi menangani masalah sosial yang terlalu meruncing di negara kita. Terutama kepada anak-anak gadis yang dikhuatiri terjebak dengan perkara kurang sihat sebelum bernikah.

Bagi yang tidak bersetuju tidak mengapa. Tetapi cuba bayangkan anak gadis remaja anda keluar dan bergaul bersama ramai lelaki ke sana sini bersama orang yang bukan muhrim. Anda percaya lelaki-lelaki tersebut? Mana lebih baik kalau ditimbangkan dengan perkara ini. Bukankah lebih baik bila mereka keluar dengan lelaki yang sudah bergelar suami:) Tentang rezeki, percayalah itu kerja Allah. Kalau kita bersangka baik dengan Allah insyaallah urusan dunia kita akan lebih baik. Wallahua’lam.




Nota kaki : Aku baru balik dari kursus 2 minggu. Tidak sempat nak update full entry majlis sebelum ni. Insyaallah aku akan update lagi minggu ni:)



Wassalam.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe

Tentang Syria

Bismillahirrahmanirrahim


Semalam aku pergi satu majlis tentang Syria yang dianjurkan oleh Masjid Shah Alam. Majlis tersebut dihadiri oleh Syeikh Samir Thaqqa yang merupakan seorang tokoh ulama’ dari Syria yang diburu kerajaan Basyar Al-Assad kerana menentang mereka. Kagum dan kasihan! Itu kesimpulan yang aku boleh buat tentang keadaan negara mereka dan perjuangan rakyat menghapuskan kekejaman pemerintah negara mereka. Aku cuba kongsi sedikit maklumat yang aku dapat dalam majlis tersebut.



Kebangkitan rakyat Syria genap setahun pada bulan ini iaitu bermula pada bulan Mac 2011 yang lepas. Ketika regim diktator negara lain seperti Mesir, Tunisia, Yaman dan Libya jatuh dalam masa kurang 8 bulan, Syria masih tidak menunjukkan kerajaan mereka akan jatuh. Rakyat Syria sebenarnya terlalu takut dengan kerajaan Basyar Al-Assad. Ketakutan itu telah ditanam kukuh dalam diri mereka sejak dari pemerintahan bapanya Hafez Al-Assad. Kerajaan Hafez Al-Assad ini adalah minoriti Syiah yang memerintah negara majoriti penduduk Sunni. Puak minoriti tersebut juga yang menjadi tentera kerajaan Syria.

Sesiapa yang menentang atau cuba mempertikai kerajaan, akan dibunuh seluruh ahli keluarga mereka. Syeikh Samir menceritakan pada tahun 1982 lebih 40,000 penduduk mati dalam masa sebulan di sebuah kawasan yang menentang Hafez Al-Assad. Sejak itu mereka trauma. Hingga nak kutuk Basyar Al-Assad di dinding pun tidak berani sebab takut ada yang melaporkan kepada pemerintah dan dibunuh seluruh keluarga mereka. Basyar dikatakan mempunyai pengintip yang ramai hingga ahli keluarga sendiri tidak tahu anak mereka adalah spy Basyar.


PUNCA PENENTANGAN


Rakyat Syria memang mengikuti perkembangan di negara-negara jiran mereka tentang kebangkitan rakyat melawan diktator negara mereka tetapi tiada siapa yang berani menentang Basyar Al-Assad. Satu hari pada bulan Mac 2011 ada seorang kanak-kanak menulis di dinding sekolah perkataan yang dia lihat di negara-negara tersebut ‘RAKYAT INGIN JATUHKAN NEGARA’. Malangnya kumpulan kanak-kanak tersebut telah ditangkap oleh polis dan diseksa. Kuku tangan dan kaki mereka dicabut hingga ada seorang kanak-kanak tersebut meninggal dunia.



Diringkaskan cerita, peristiwa ini menjadi titik tolak penentangan rakyat kepada kerajaan Syria. Ia kemudian merebak ke seluruh negara terutama bila kerajaan Syria bertindak kejam terhadap para penentang mereka. Tahukah anda sejak setahun lepas lebih 20,000 rakyat Syria telah terkorban menentang kerajaan negara mereka sendiri!!

Syria tidak membenarkan wartawan asing dan pihak luar masuk ke negara mereka untuk membuat liputan. Internet diputuskan. Bekalan air dan elektrik dicatu. Berita yang keluar kepada umum dari kerajaan biasanya ditapis oleh kerajaan seperti yang berlaku minggu lepas apabila bom membunuh 27 orang penunjuk perasaan. Dikatakan ia adalah perbuatan dari pengganas dan pergaduhan antara puak. Walhal, kesemua rakyat Syria bersatu menentang satu-satunya musuh iaitu kerajaan Basyar Al-Assad.


VIDEO


Pada akhir ceramah tersebut ada satu video yang dipaparkan kepada semua tentang situasi yang berlaku di Syria. Video tersebut diseludup keluar oleh para pejuang untuk maklumkan kepada dunia luar berita yang cuba dihalang oleh kerajaan Syria. Paling menyentuh hati aku ada sebuah video memaparkan sebuah keluarga disembelih dari ibu ayah dan anak-anak mereka 5 orang. Paling kecil 2 tahun dan paling besar dalam 10 tahun. Leher mereka hampir putus dan dibiarkan bergelimpangan dalam rumah mereka.

Ada juga video paparkan tembakan dilepaskan kepada seorang wanita dan anaknya yang menaiki motor menyebabkan kedua-duanya tersungkur mati di tempat kejadian. Ada video seorang budak lelaki 9-10 tahun yang ditembak dan hancur mukanya tetapi masih hidup sebelum mati kemudiannya. Ada juga sebuah video menunjukkan tentera Basyar Al-Assad berani masuk masjid yang penuh dengan orang ramai dan tikam imam masjid dan tangkap orang yang cuba timbulkan kekecohan. Ada video yg memaksa para penentang sujud pada gambar Basyar Al-Assat dengan kaki menginjak lehernya dan muncung senapang di kepalanya.


KESIMPULAN


Kesimpulannya, disebelah lain dunia sana umat Islam di Syria bergelut untuk hidup. Ia akan terus berlaku dalam beberapa bulan akan datang. Berpuluh ribu rakyat jadi pelarian dan menumpang di negara jiran dan ada yang mati kelaparan. Kita di sini syukur Alhamdulillah hidup dengan aman dan tidak pernah kurang dengan makanan. Malah kita sibuk dengan hiburan, artis dan selalu merungut tentang perkara kecil yang kita tidak dapat dapat hidup. Kalau tidak mampu membantu sekurang-kurangnya cubalah peduli dan ambil tahu tentang mereka kalau semangat cintakan agama Islam masih ada dalam diri. Wallahua’lam.




Nota kaki : Kisah Syria dari sudut lain boleh download kat sini. Aku dapat dari email. [Peduli Syria – 49KB]



Wassalam.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe

Kisah Imam Ahmad Hanbal

Bismillahirrahmanirrahim


Pada satu hari, Imam Ahmad Hanbal (pengasas mazhab Hanbali) bermusafir dan singgah di sebuah tempat yang ramai tidak mengenalinya. Ketika itu sudah larut malam dan Imam Ahmad merasa letih dan ingin tidur di dalam sebuah masjid. Tapi niatnya tidak kesampaian kerana penjaga masjid tersebut melarang Imam Ahmad untuk tidur di kawasan masjid. Penjaga itu kemudian menolak Imam Ahmad dari masjid tersebut apabila Imam Ahmad ingin tidur di luar masjid.

Perkara itu dilihat oleh seorang pembuat roti yang kebetulan melalui kawasan tersebut. Beliau mempelawa Imam Ahmad untuk bermalam di rumahnya. Imam Ahmad menerima pelawaan tersebut. Ketika Imam Ahmad hendak tidur, dia terdengar zikir pembuat roti yang sedang sedang sibuk menguli rotinya untuk dijual keesokkan harinya. Setelah diteliti, pembuat roti tersebut berzikir istighfar sepanjang malam.

Teaser Natasha & Jamil, Meru Klang.


Imam Ahmad bertanya kepada si pembuat roti tersebut kenapa beliau sentiasa beristigfar.

Beliau menjawab “Setakat ini segala doa saya dikabulkan Allah bila saya beristighfar. Semua yang saya mahu dalam hidup telah saya perolehi dengan mengamalkan istighfar melainkan satu perkara sahaja belum dimakbulkan lagi”.

Imam Ahmad bertanya “Apakah doa kamu yang belum di perkenankan oleh Allah itu?“.

Jawab lelaki itu “Saya berdoa agar dipertemukan dengan Imam Ahmad bin Hanbal sebelum saya mati”.

Imam Ahmad sangat terkejut dan memperkenalkan bahawa beliaulah Imam Ahmad Hanbal. Allah telah menunjukkan jalan kepadanya untuk bertemu si pembuat roti tersebut dan mengabulkan permintaannya. Berkat Istighfar yang sentiasa dilakukan dengan hati yang ikhlas, Allah telah memakbulkan doa si pembuat roti tersebut.

Kelebihan istighfar ini sangat besar bukan setakat memohon keampunan atas dosa-dosa sahaja. Ada dinyatakan dalam Al-Quran tentang beristighfar kepada Allah untuk dimurahkan rezeki. Allah itu maha pengasih dan penyayang untuk mengabulkan permintaan sesiapa yang dikehendakinya. Mudah-mudahan kita semua mendapat pengajaran dan mengamalkan apa yang baik ini. Wallahua’lam.




Nota kaki : Aku belum sempat nak update panjang lagi atas kesibukan kerja. Insyaallah akan update minggu depan. Tunggu ye :)



Wassalam.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe

Idola aku Prof Dr Muhaya

Bismillahirrahmanirrahim


Sekarang aku suka sangat dengar Prof Dr Muhaya kat radio IKIM. Banyak butir-butir kata yang keluar dari mulut beliau sangat aku kagumi dan jadi sumber inspirasi. Aku suka cara beliau menjawab soalan penonton dan bagaimana beliau menjawab persoalan tentang hidup ni walaupun beliau adalah seorang doktor pakar mata. Tanpa sedar hidup aku jauh lebih baik dan aku dapat lihat banyak benda dari sudut positif berbanding sebelum ini.

Teaser Azhar & Shuhadah, Shah Alam.


Ada pendengar yang mengadu, kerja di ofisnya terlalu banyak dan tidak sesuai dengan gaji yang diterimanya. Prof jawab kita mesti belajar lihat sesuatu dari sudut berbeza. Hidup kita pasti akan berbeza. Anggap kerja tambahan tersebut sebagai peluang lakukan ibadah untuk kita mati nanti. Adakah rugi kita beribadah untuk saham akhirat? Betulkan niat untuk cari rezeki keluarga. Cuba lihat ke bawah orang yang masih tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap.

Setiap masalah tu datang dari minda kita, ajaibnya penyelesaiannya juga datang dari minda. Kesedihan dan kegembiraan dalam hidup kita memang lumrah dalam hidup. Tugas kita menerima dan belajar menanganinya. Cuba anggap esok adalah hari terakhir hidup kita di dunia ni. Adakah kita masih buat jahat kepada orang lain. Automatik kita akan melihat sesuatu perkara dari sudut berbeza. Itu antara isi yang aku ingat dalam topik pagi tadi. Insyaallah ada masa nanti aku kongsi lagi.



Nota kaki : Tunggu update full entry majlis kat atas ni nanti ye:)



Wassalam.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe

Majlis Pernikahan Maria & Fitri, Dato’ Keramat

Bismillahirrahmanirrahim


Dulu aku juga seorang blogger. Sejak aku buat photography ni aku dah tak menulis secara aktif lagi. Antara topik yang kekadang aku sentuh ialah situasi politik di negara kita. Pernah ada satu entry tu lebih 700 komen dari pengunjung blog yang komen tentang penulisan aku tersebut. Aku cuma nak bagitau walaupun sekarang aku tidak menulis sebegitu lagi tetapi bukan bermakna aku tidak mengambil tahu situasi di negara kita.

Kes Hamzah Kashgari yang dikatakan menghina Rasulullah menarik perhatian aku. Memang bukan sikit orang begitu yang ada dikalangan kita sekarang. Tetapi bila ada orang Islam yang menyokong beliau atas nama hak asasi manusia adalah amat menyedihkan. Lagi sedih dengan orang-orang yang nak dapatkan ‘political milage’. Ramai melenting bila Sultan atau artis yang mereka suka dihina. Tetapi bila Rasulullah tercinta dikatakan begitu langsung tidak terasa dihati mereka untuk mempertahankannya.

Aku update dulu majlis pernikahan pasangan Maria & Fitri yang diadakan di Kampung Dato’ Keramat baru-baru ni.


Antara cabaran photographer bila shoot majlis nikah dalam rumah apabila mereka tidak boleh bergerak langsung kerana keadaan yang terhad. Itulah gunanya pengalaman bila menghadapi situasi tersebut. Ia membantu bila terjadi perkara-perkara yang diluar jangkaan. Alhamdulillah majlis pernikahan ini berjalan lancar walaupun hujan lebat di luar rumah:) Tahniah kepada korang berdua. Tunggu full entry majlis sanding pula ye.



Nota kaki : Aku dah tak available pada bulan November 2012. Terima kasih kepada semua yang bertanya dan percaya hasil kerja aku. Aku sangat hargainya :)



Wassalam.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe

Gurauan Rasulullah

Bismillahirrahmanirrahim


Aku nak kongsi satu tazkirah ringkas semasa sambutan Maulidur Rasul yang lepas. Satu hari baginda Rasulullah sedang duduk bersama para sahabat sambil makan buah tamar. Sambil berborak-borak Saidina Ali mahu bergurau dengan Rasulullah. Di antara sahabat-sahabat baginda, sebenarnya Ali yang paling banyak makan buah tamar tersebut. Tetapi secara senyap-senyap Ali meletakkan biji tamar yang beliau makan di tempat Rasulullah letakkan biji-biji tersebut. Seolah-oleh Rasulullah yang makan tamar tersebut.

Teaser Maria & Fitri, Kg Dato’ Keramat.


Kemudian Ali pura-pura berkata kepada Rasulullah di hadapan sahabat-sahabat lain. “Wahai Rasulullah, banyaknya tuan makan buah tamar ini” sambil menunjukkan kepada biji tamar yang Rasulullah makan. Rasulullah tersenyum kerana tahu Ali telah cuba mengenakan baginda. Tetapi baginda spontan membalas “Tak mengapalah Ali, aku makan buah tamar banyak, tetapi aku keluarkan bijinya. Tetapi engkau Ali memakan terus semua bijinya“. Sahabat-sahabat semua tertawa.

Sebenarnya menjadi orang yang taat dan patuh kepada perintah Allah tidak semestinya menjadikan seorang muslim itu bengis, perengus dan masam muka sepanjang masa. Buktinya Rasulullah juga selalu bergurau dengan sahabat dan isteri baginda. Tanggungjawab yang sangat besar untuk menyebarkan agama Islam di muka bumi masih terus dijalankan dan dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

Namun begitu gurauan perlulah bertempat. Ia mestilah tidak boleh mempermainkan ayat-ayat Allah mahupun sunnah Rasulullah. Ia juga seharusnya tidak menjadikan hukum yang diperintahkan Allah sebagai satu bahan gurauan kerana ia mungkin menyebabkan seseorang itu gelincir aqidah tanpa disedari. Selain itu mempersenda dan mengejek manusia lain dengan niat gurauan juga perlu dielakkan supaya hubungan persaudaraan muslim itu berkekalan baik atas ketaqwaan kepada Allah. Wallahua’lam.




Nota kaki : Tunggu update full entry majlis kat atas ni nanti ye:)



Wassalam.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe

Kepten Fahmi & Aimi, Ampang

Bismillahirrahmanirrahim


Pada 1441 tahun yang lepas di sebuah perkampungan Al-Irash, Mekah, lahir seorang manusia agung yang bakal membawa rahmat kepada seluruh alam. 2 bulan sebelum bayi tersebut lahir bapanya Abdullah meninggal dunia sebelum sempat melihat anak tunggalnya itu. Bayangkan bagaimana Aminah yang sarat mengandung 7 bulan menerima ujian besar tersebut. Baginda lahir ketika waktu subuh dengan kelahiran yang agak luar biasa berbanding bayi lain.

Bayi tersebut tidak menangis, tertiarap dan matanya mendongak ke langit seolah-olah ada benda yang dipandangnya. Datuknya Abdul Mutalib menamakan bayi tersebut Muhammad yang bererti ‘terpuji’. Ketika itu, tiada orang di tempat tersebut bernama Muhammad sama ada dikalangan orang dewasa maupun kanak-kanak. Itulah satu-satunya Muhammad di kawasan itu. Selepas kelahiran bayi tersebut kota Mekah berubah wajah. Tanam-tanaman menjadi subur, ternakan semuanya menjadi. Itulah rahmat pertama kepada bumi dengan kelahiran insan yang bernama Muhammad saw.

Atas kesibukan di kantor, aku tidak dapat update banyak majlis bertandang pasangan Kapten Fahmi & Aimi ni. Memandangkan selepas selesai majlis hujan turun dengan lebat, kitorang buat outdoor di sekeliling Bangunan MARDI, Ampang iaitu lokasi majlis tersebut berlangsung. Fahmi ni nampak serius dan garang tapi sebenarnya diapun gila2 juga :)



Alhamdulillah, majlis berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Aku doakan semoga kedua pasangan Fahmi dan Aimi sentiasa bahagia dan dirahmati Allah sepanjang masa. Selamat hidup jauh diperantauan kat Labuan sana:)

Maulidur rasul akan datang tak lama lagi. Ada orang yang selalu meraikan hari lahir mereka, anak-anak mereka, kekasih mereka tetapi bila tiba hari lahir Rasulullah kita yang tercinta mereka mengatakan ia bidaah dan tidak perlu diraikan. Adakah itu tanda kita sayangkan Rasulullah?



Nota kaki : Selamat bercuti kepada semua. Berhati-hati di jalan raya.



Wassalam.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe