Secebis kisah sahabat : Ukasyah r.a

Bismillahirrahmanirrahim


Sumber gambar google.com


Satu waktu beberapa hari sebelum kewafatan baginda s.a.w, Ukasyah berkata kepada Rasulullah s.a.w, “Ya Rasulullah, ada satu waktu, tuan ada memukul pada tulang rusuk saya. Oleh itu saya hendak tahu apakah tuan sengaja memukul saya atau hendak memukul unta? “Rasulullah s.a.w. berkata: “Wahai Ukasyah, saya sengaja memukul kamu.” Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata kepada Bilal, “Wahai Bilal, kamu pergi ke rumah Fatimah dan ambilkan tongkatku ke mari.” Bilal keluar dari masjid menuju ke rumah Fatimah sambil meletakkan tangannya di atas kepala dengan berkata, “Rasulullah telah menyediakan dirinya untuk dibalas (Qisas).”

Setelah Bilal sampai di rumah Fatimah maka Bilal pun memberi salam dan mengetuk pintu. Kemudian Fatimah menyahut dengan berkata: “Siapakah di pintu?” Lalu Bilal berkata: “Saya Bilal, saya telah diperintahkan oleh Rasulullah untuk mengambil tongkat beliau. “Kemudian Fatimah berkata: “Wahai Bilal, untuk apa ayahku minta tongkatnya?” Berkata Bilal “Wahai Fatimah, Rasulullah telah menyediakan dirinya untuk diqisas” Bertanya Fatimah lagi: “Wahai Bilal, siapakah manusia yang sampai hatinya untuk menqisas Rasulullah?” Bilal tidak menjawab pertanyaan Fatimah. Setelah Fatimah memberikan tongkat tersebut, maka Bilal pun membawa tongkat itu kepada Rasulullah. Setelah Rasulullah s.a.w. menerima tongkat tersebut dari Bilal maka beliau pun menyerahkan kepada Ukasyah.

Melihatkan hal yang demikian maka Abu Bakar dan Umar tampil ke depan sambil berkata: “Wahai Ukasyah, janganlah kamu qishash Rasulullah tetapi kamu qisaslah kami berdua sebagai ganti” Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar kata-kata Abu Bakar dan Umar maka dengan segera beliau berkata: “Wahai Abu Bakar, Umar duduklah kamu berdua, sesungguhnya Allah telah menetapkan tempatnya untuk kamu berdua.”

Kemudian Ali bangun, lalu berkata, “Wahai Ukasyah! Aku adalah orang yang senantiasa berada di samping Rasulullah oleh itu kamu pukullah aku dan janganlah kamu menqisaskan Rasulullah” Lalu Rasulullah berkata, “Wahai Ali duduklah kamu, sesungguhnya Allah telah menetapkan tempatmu dan mengetahui isi hatimu.”

Setelah itu Hasan dan Husin bangun dengan berkata: “Wahai Ukasyah, bukankah kamu tidak tahu bahwa kami ini adalah cucu Rasulullah, kalau kamu menqisas kami sama dengan kamu menqisas Rasulullah” Mendengar kata-kata cucunya Rasulullah pun berkata, “Wahai buah hatiku duduklah kamu berdua.” Berkata Rasulullah “Wahai ‘Ukasyah pukullah saya kalau kamu hendak memukul.”

Kemudian Ukasyah berkata: “Ya Rasulullah, tuan telah memukul saya sewaktu saya tidak memakai baju.” Maka Rasulullah pun membuka baju baginda. Setelah Rasulullah membuka baju maka menangislah semua yang hadir. Setelah Ukasyah melihat tubuh Rasulullah maka dengan segera dia pun memeluk dan mencium baginda dan berkata, “Saya tebus anda dengan jiwa saya ya Rasulullah, siapakah yang sanggup memukul tuan? Saya melakukan begini adalah sebab saya ingin menyentuh badan tuan yang dimuliakan oleh Allah dengan badan saya. Dan Allah menjaga saya dari neraka dengan kehormatanmu”

Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata, “DENGARLAH KAMU SEKALIAN, SEKIRANYA KAMU HENDAK MELIHAT AHLI SYURGA, INILAH ORANGNYA.” Kemudian semua para jemaah bersalam-salaman atas kegembiraan mereka terhadap peristiwa yang sangat genting itu. Setelah itu para jemaah pun berkata, “WAHAI ‘UKASYAH, INILAH KEUNTUNGAN YANG PALING BESAR BAGIMU, ENGKAU TELAH MEMPEROLEHI DARJAT YANG TINGGI DAN BERTEMANKAN RASULULLAH S.A.W. DI DALAM SYURGA.”


Wassalam.


Nota kaki : Walaupun dah banyak kali dengar kisah ni tapi tetap sedih bila membacanya. Kisah ini dicerita oleh sahabat aku Ustaz Fikrie Al-Jawi dalam kolum tazkirah di tempat kerja.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe

Info zakat fitrah dan fidyah puasa

Bismillahirrahmanirrahim

Gambar salah satu kaunter zakat di Selangor


Alhamdulillah kita masih lagi diberi nafas untuk hidup di bulan Ramadan. Hari ni dah 11 Ramadan. 1/3 Ramadan telah berlalu. Sebagai memenuhi tanggungjawab aku sebagai salah seorang yang bertugas di institusi zakat, aku nak beri beberapa info yang mungkin berguna kepada sahabat2 semua yang masuk sini. Kalau ada yang tak jelas boleh tanya aku ye :)

  1. ZAKAT FITRAH
  2. Zakat fitrah dikira berdasarkan berat makanan asasi (beras) satu gantang baghdad (2.75kg). Kadarnya di Selangor RM7.00. Seeloknya jika mampu, kita kira jumlah sebenar berdasarkan beras yang kita makan. Contohnya kalau kita biasa beli beras wangi 10kg = RM45. Jadi kadar zakat fitrah sebenar satu kepala adalah RM12.40 (RM45/10kg x 2.75kg).

    Tetapi kebanyakkan institusi zakat mempunyai resit mengikut gandaan (eg :RM7.00) bagi memudahkan urusan rekod dan pemantauan jumlah umat Islam yang membayar zakat fitrah. Jadi mungkin boleh bayar 2 resit sekiranya berniat untuk lebihkan bayaran zakat tersebut. Kalau seorang insan tu sempat hidup pada bulan Ramadhan dan Syawal walau sesaatpun dan mampu makan pada siang syawal, maka wajib bayar zakat fitrah walaupun mereka fakir dan miskin.

  3. FIDYAH
  4. Kadar fidyah pula ialah 1 cupak beras. 1 gantang = 4 cupak. Jadi kadar fidyah adalah sebanyak RM1.75 (RM7 / 4 cupak). Fidyah seeloknya ditukarkan kepada nilai beras yang setara dan diberikan kepada fakir miskin. Kiraan fidyah : [Bilangan hari tinggal puasa X RM1.75]. Kalau melangkau tahun kena gandakan nilai fidyah tersebut. Tetapi jumlah puasa yang wajib qada’ tetap sama.

  5. FIDYAH UNTUK IBU MENGANDUNG DAN MENYUSU BADAN
  6. Kalau tidak berpuasa sebab takut menjejaskan kandungan/anak maka wajib qada’ dan bayar fidyah. Kalau tidak berpuasa sebab takut mudharat kepada dirinya sendiri maka wajib untuk qada’ puasa sahaja.

  7. FIDYAH UNTUK ORANG TUA
  8. Sekiranya orang tua tersebut memang tidak mampu berpuasa atau disahkan doktor tidak boleh berpuasa maka mereka tidak wajib puasa dan hanya perlu membayar fidyah. Seeloknya disegerakan supaya tidak membebankan pada kemudian hari.


Seperti yang kita semua tahu, bulan Ramadhan ini Allah melipatgandakan pahala amalan kita. Sebab tu kita kena berusaha menambahkan amalan kita berbanding bulan-bulan biasa. Ini termasuklah melaksanakan zakat-zakat lain di bulan ini, memperbanyak sedekah, membaca al-Quran, solat-solat sunat seperti tarawikh, taubat, hajat pada malam Ramadhan dan sebagainya.

Bulan Ramadhan ni cuma datang sekali je dalam setahun. Tinggal 20 hari sahaja Ramadan akan berlalu. Cubalah korbankan sedikit masa rehat, masa tidur dan masa lapang untuk meraikan kemuliaan Ramadhan ini. Mungkin dengan latihan-latihan begitu dan rahmat Allah, kita keluar dari bulan ni dengan menjadi insan yang lebih baik dari semua perkara, dihapuskan Allah dosa2 lepas dan sekiranya ditakdirkan mati, akan mati dengan mati yang baik dalam keadaan hampir dengan Allah. Insyaallah.


Nota kaki : Kalau ada soalan apa2 berkenaan zakat dan fidyah boleh tanya. Insyaallah aku cuba jawab dan bertanyakan kepada orang yang lebih pakar di sini sekiranya aku kurang arif tentang itu. Terima kasih.



Wassalam.




Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe

Ramadan di sudut lain dunia

Bismillahirrahmanirrahim


Teaser Dr Ain & Dr Is, Kuala Lumpur


Selamat menyambut bulan keberkatan dan kerahmatan iaitu bulan Ramadan kepada semua pengunjung blog ni yang dikasihi :) Ketika aku tulis ni dah 5 hari kita berpuasa. Mudah-mudahan amalan kita bertambah baik setiap hari.

  1. Semalam aku tengok satu rancangan soal jawab agama di TV arab. Ada seorang pemanggil dari Somalia bertanya kepada ahli panel. Soalan beliau yang sangat-sangat menyentuh hati aku. “Adakah sah puasa saya kalau saya tidak bersahur dan berbuka sebab tiada apa hendak di makan?”. Air mata aku bercucuran laju bila mendengar kata-kata itu. Begitu juga ahli2 panel yang turut sama menangis. Terbayang kesusahan yang mereka alami dan terbayang kemewahan kita di sini.
  2. Cubalah bayangkan mereka yang sangat miskin hingga tidak mampu nak berbuka puasa setelah kelaparan lebih seharian. Kemudian bayangkan pula makanan seharian kita yang selalu berlebihan dan dibuang hanya kerana kita mampu. Langsung tidak rasa bersalah membuang lebihan makanan sedangkan di satu sudut lain dunia, mereka kebuluran.
  3. Sebenarnya aku cuba sedaya mungkin mengurangkan makanan untuk rasa kelaparan orang-orang miskin ini. Rasa kelaparan itu jadikan aku lebih hargai semua rezeki yang Allah berikan kepada aku. Rasa syukur dengan nikmat Allah selama ini. Rasa malu nak mintak lebih banyak rezeki selagi apa yang kita miliki ini pun belum disyukuri nikmatnya.
  4. Setiap kali aku kenang orang Somalia yang bertanya tersebut mmg rasa sebak je. Mudah-mudahan beliau sekeluarga dan semua umat Islam yang miskin serta kebuluran di seluruh dunia diberikan rezeki oleh Allah terutamanya ketika menyambut bulan Ramadan ini.
  5. Kalaulah kita tahu secara pasni bahawa inilah Ramadan terakhir kita sebelum kita mati selepas ini, mesti kita berusaha sungguh2 beribadah kerana pahala yang berlibat kali ganda yang Allah berikan. Ia tiada pada bulan lain. Kurangkanlah aktiviti biasa yang kurang berfaedah. Cerita kebaikan dan perkara positif. Insyaallah ia boleh jadikan kita insan yang lebih baik. Wallahua’lam



Wassalam.




Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe

Ramadan Kareem!!

Bismillahirrahmanirrahim



Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah!!

Marhaban ya Ramadan. Subhanallah, walaupun aku banyak sangat berbuat dosa setiap hari tapi Allah masih berikan kesempatan untuk berjumpa bulan Ramadan tahun ini. Beberapa hari menjelang Ramadan ni, aku dengar banyak berita kematian sahabat dan ahli keluarga mereka. Semoga Allah limpahkan rahmat kepada mereka semua. Kepada kita yang masih hidup, bersyukurlah atas peluang yang Allah berikan ini dan usaha perbaiki diri.

Sempena bulan Ramadan ni, ayuhlah kita berhentilah cari perbezaan antara kita semua. Berhenti cari kekurangan. Berhenti cari kesalahan. Simpan cerita kekurangan dan keaiban orang lain untuk diri kita dan ringankan mulut cerita kebaikannya kepada orang lain. Kalau kita jadi orang positif, cara kita memandang hidup dan dunia akan berbeza. Ibadah yang kita lakukan akan jadi khusyuk dan ikhlas kerana Allah,insyaallah.

Ramadan ini adalah satu madrasah. Kebiasaannya bila keluar daripada sekolah/madrasah ada ilmu yang kita perolehi yang berguna dalam hidup. Sebab tu kena niat apa yg kita mahu perbaiki dari segi amalan, akhlak dan ilmu kita sebelum masuk madrasah Ramadan ini. Mudah-mudahan ia jadi amalan dan kebiasaan selepas keluar dari madrasah Ramadan ini.

Aku mohon maaf atas segala kekhilafan dan kesalahan aku kepada semua. Aku insan yang lemah dan kadangkala melakukan kesilapan secara sedar ataupun tidak. Semoga kita dapat lalui Ramadan dengan tenang dan menjadikan kita insan yang lebih baik. Amin.


Nota kaki : Tahniah semua dgn kehadiran Ramadan. Allah, ampunkanlah semua dosa sahabat2 blog aku semua,amin. Kadar fitrah di Selangor RM7.00 seorang



Wassalam.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe

Secebis kisah Imam Syafie

Bismillahirrahmanirrahim


Aku nak berkongsi kisah Imam Syafie yang aku dapat daripada tazkirah baru-baru ni.

Pada satu hari Imam Syafie pergi ke satu kawasan untuk mengajar ilmu. Ketika beliau sampai ke lokasi pengajian tersebut didapati tiada seorang pun yang telah hadir sebelum beliau. Masjid tersebut kosong kerana anak muridnya semua lewat tiba. Bolehlah bayangkan macam sesetengah kita juga kadangkala tuan guru sampai dulu sebelum anak murid.

Teaser Hanis & Faisal, Semenyih.


Sementara menunggu anak murid beliau tiba Imam Syafie membersihkan kawasan tersebut seperti menyapu, membuang tahi cicak, mengemas dan kerja-kerja biasa yang dilakukan oleh anak muridnya. Apabila anak muridnya tiba mereka terkejut dan menghalang Imam Syafie dari meneruskan kerjanya. Ia kerana kerja-kerja seperti itu sepatutnya merupakan tugas mereka.

Lalu Imam Syafie menjawab “Tidak mengapa. Aku tidak tahu amalan mana yang Allah terima dariku. Mungkin amalan seperti inilah yang menyebabkan aku masuk ke syurga Allah.

Subhanallah, bayangkan Imam besar yang ilmu dan kitabnya digunakan oleh umat Islam sampai ke hari ini masih merendah diri dengan mengatakan sedemikian.

Hakikatnya, kita semua tidak pernah tahu amalan mana yang Allah terima daripada kita. Mungkin amalan kecil seperti membuang sampah itu diterima Allah sebab kita ikhlas berbanding kita melakukan perkara besar lain seperti solat sunat dan bersedekah tetapi timbul riak dan kurang keikhlasannya. Sebab tu selagi hayat masih ada, kita kena melakukan sebanyak mungkin kebaikan sebelum nyawa kita diambil Allah. Jangan berbangga dengan amalan kita kerana ia mungkin belum diterima Allah. Wallahua’lam.


Nota kaki : 14 hari lagi sebelum kehadiran Ramadan Mubara’



Wassalam.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe

Menghukum neraka kepada orang lain

Bismillahirrahmanirrahim


Mohon maaf sebab dah lama tak update blog. Kesibukan di kantor menyebabkan tiada kelapangan untuk coretkan sesuatu di sini. Aku nak kongsi satu tazkirah yang aku dengar tentang sikap kita yang suka menghukum orang berdosa dengan balasan neraka. Ada satu soalan dari hamba Allah kepada ustaz tersebut dan jawapan yang diberikan menarik perhatian aku.

Teaser Syima & Zulhelme, Puchong.


Hamba Allah tu bertanya “Bagaimana nasib sahabat saya yang selalu buat dosa seperti minum arak, berzina dan sentiasa melakukan dosa. Adakah mereka akan masuk ke neraka?

Ustaz tersebut menjawab “Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu nasib saya sama ada ke neraka atau syurga. Apatah lagi nak menentukan syurga dan neraka untuk orang lain. Syariat Islam bertujuan bentuk dan bimbing manusia. Tetapi kita semua tidak berhak tentukan syurga & neraka kepada manusia hanya melihat amalan atau dosa mereka kerana ia milik mutlak Allah. Pada zaman Rasulullah ramai orang yang melakukan dosa besar sepanjang hayatnya dan sebelum mati memeluk Islam dan masuk syurga walau tak pernah beribadah. Rahmat Allah yang tentukan kita ke mana kelak.

Tapi kalau tanya saya, perbuatannya itu dari Al Quran & Sunnah menunjukkan beliau menuju ke jalan yang salah. Tetapi rahmat Allah sangat luas. Kita tidak tahu nasib kita atau mereka bila mati nanti. Tugas kita seru kebaikan dan cegah kemungkaran. Tetapi jangan sesekali menghukum neraka kepada orang lain. Itu kerja Allah dan bukan kerja kita sebagai hamba.

Menarik jawapan tersebut. Semoga semua dapat manfaat dan pengajaran darinya. Wallahua’lam.



Nota kaki : Insyaallah minggu depan aku update full entry dua majlis yang lepas ni :)



Wassalam.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe

Peperangan Jamal part 2

Bismillahirrahmanirrahim

Kali ni aku nak sambung kisah yang berlaku selepas kematian Khalifah Usman dalam Perang Jamal Part 1. Sebelum itu, sahabat2 semua kena faham ketika berlaku pembunuhan Usman ini suasana di negara Islam terutama di Madinah ketika itu agak tegang. Mereka bercakap-cakap tentang pembunuhan dengan versi berbeza-beza. Para sahabat juga tidak tahu buat pendirian sebab perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

PERLANTIKAN ALI SEBAGAI KHALIFAH

Selepas kematian Usman, lebih ramai pemberontak masuk ke dalam kota Madinah hingga jumlahnya mencecah 5,000-6,000 orang. Mereka mencadangkan 3 nama untuk menggantikan Usman iaitu Ali bin Abi Talib, Abi Talhah dan Zubair bin Awwam. Kedua-dua Zubair dan Abi Talhah menolak. Pemberontak mengugut Ali untuk membuat pertumpahan darah di Madinah sekiranya Ali tidak menerima jawatan tersebut.

Akhirnya Ali berijtid untuk mengambil jawatan tersebut dengan niat mengembalikan keamanan di kota Madinah dan negara-negara jajahan takluk Islam lain. Ketika itu suasana sangat getir. Namun begitu, kenaikan Ali menyebabkan ramai dikalangan penduduk Mekah, Mesir dan beberapa kawasan lain yang pernah mendapat surat palsu daripada Ali untuk serang Madinah persoalkan perkara tersebut.

Kalau Ali menafikan beliau hantar surat palsu untuk menjatuhkan Usman, kenapa Ali naik sebagai khalifah sejurus selepas kematian Usman? Diburukkan lagi, Ali lebih tumpukan untuk perkukuhkan dahulu negara Islam dan tenangkan pergolakkan yang berlaku sedangkan ramai yang mahu Ali mencari pembunuh Usman terlebih dahulu.

PEMERINTAHAN ALI

Kebanyakkan yang bermasalah dan menimbulkan pertanyaan adalah bukan di kalangan sahabat. Golongan sahabat tiada masalah. Malah mereka telah berjumpa Ali untuk menyatakan Bai’ah (janji taat) kepada Ali termasuk Zubair dan Talhah. Tetapi dalam masa sama mereka meminta Ali membunuh pembunuh Usman (Qisas) yang ada di kota Madinah ketika itu.

Ali berkata “Bagaimana aku hendak bertindak dengan kaum yang kita tidak kuasai? Tiada cara hendak cari pembunuh Usman kerana mereka ramai dan tiada saksi ketika pembunuhan di rumah Usman. Siapa yang tahu cara untuk mencari pembunuh Usman sila bagitau aku!“. Sahabat semua diam dan akhirnya mereka taat kepada Ali. Zubair dan Talhah telah keluar dari Madinah menuju Mekah selepas itu.

Satu perkara yang Ali lakukan dengan tergesa-gesa dalam keadaan gawat ialah beliau telah memecat semua gabenor-gabenor yang dilantik oleh Usman termasuk Muawiyah di Syam (Syiria). Ali berpendapat ia dapat meredakan kemarahan orang yang tidak suka kepada gabenor pemerintahan Usman sebelum ini. Tetapi hal ini semakin menimbulkan prasangka di kalangan sahabat yang lain. Malah seorang sahabat iaitu Al-Mughirah menasihati Ali supaya jangan memecat gabenor Usman ketika itu. Usman tidak pernah memecat gabenor yang dilantik oleh Umar sebelumnya. Ia akan menimbulkan fitnah. Tetapi Ali meneruskan hasratnya.

TENTERA AISYAH

Sebenarnya Aisyah telah mengumpulkan tentera di Mekah untuk membantu Usman menghadapi pemberontak di Madinah. Pada masa itu, Aisyah baru berumur 40 tahun dan masih cergas serta bersemangat. Ketika dalam perjalanan menuju ke Madinah lah Usman telah dibunuh. Ketika itu para sahabat mempunyai beberapa cadangan kepada Aisyah. Pertama, pergi ke Syam untuk bertemu Muawiyah untuk sama-sama menyerang Madinah (ditolak). Terus menyerang Madinah (ditolak) dan pergi ke Basrah untuk mengumpulkan kekuatan sebelum ke Madinah untuk menghapuskan pemberontak (diterima).

Apabila Ali mendengar berita Aisyah mengumpulkan tentera menuju ke Madinah, beliau juga mengumpulkan pasukan untuk melihat apa yang berlaku dengan tujuan untuk mendamaikan Aisyah. Malangnya kebanyakkan tentera yang mengikut Ali adalah dikalangan pemberontak. Ramai sahabat tidak mahu serta dalam rombongan tersebut. Abu Musa dan Hassan bin Ali telah menasihati Ali supaya jangan keluar kerana ia lebih membawa keburukan. Tetapi ijtihad Ali adalah untuk membawa keamanan.

Jadi kita dapat lihat di sini kedua-dua Ali dan Aisyah bukan berniat berperang seperti yang diceritakan oleh buku-buku Syiah. Dalam buku mereka (termasuk buku teks kat Malaysia), Aisyah datang bersama tentera untuk berperang dengan Ali untuk menuntuk bela kematian Usman. Syiah menghukum Aisyah dan sahabat yang menyertai Aisyah seperti Zubair dan Talhah adalah kafir.

PEPERANGAN JAMAL

Setelah Aisyah sampai di Basrah, tentera Ali pun ke sana dan mereka berjumpa untuk berbincang. Aisyah, Zubair dan Talhah menyuruh Ali mencari pembunuh Usman. Tetapi Ali dengan tegas menjelaskan dalam keadaan sekarang ia adalah mustahil. Aisyah memberitahu tenteranya mereka tersilap dalam hal ini. Mereka sepatutnya berbai’ah (taat) kepada Ali. Mereka berjanji akan selesaikan salah faham dan sama-sama bergabung untuk cari pemberontak tersebut.

Pada malam itu, pemberontak yang rasa terancam dengan perdamaian tersebut merancang sesuatu. Jumlah mereka dalam tentera Ali ketika itu dikatakan mencecah 1,000 orang. Tanpa disangka mereka menyerang tentera Aisyah yang sedang tidur. Tentera Aisyah menyangka pasukan Ali telah khianat dan mula menyerang balas tentera Ali tersebut.

Apabila tentera Ali nampak tentera Aisyah menyerang mereka, mereka menjerit “Tentera Aisyah menipu! mereka menyerang kita ketika waktu malam!” Lalu terjadilah peperangan pertama yang melibatkan sesama orang Islam. Peperangan ini dinamakan peperangan Jamal(unta) kerana Aisyah menunggang unta ketika berperang.

Dalam peperangan ini unta yang dinaiki Aisyah telah dibunuh dan Aisyah terjatuh dari unta tersebut. Zubair bin Awwam dan Abi Talhah (sahabat yang dijamin syurga) juga telah dibunuh oleh tentera Ali. Ramai dikalangan umat Islam terbunuh dalam peperangan ini. Namun tiada pihak yang menang dalam peperangan ini.

Peristiwa ini ada dijelaskan dengan khusus oleh ramai ulama’ seperti Ibnu Taimiyyah, Abu Bakr bin Al-‘Arabiy, Imam Adz-Dzahabi dan ramai lagi yang bersetuju ijtihaj Aisyah ketika itu adalah berniat kebaikan. Tetapi berlaku sebaliknya dan Aisyah sangat menyesal dengan perkara tersebut.

SELEPAS PEPERANGAN JAMAL

Ali sangat berdukacita dengan peperangan ini. Ketika beliau nampak Abi Talhah mati, beliau telah turun dari kuda mengangkat mayat Abi Talhah dan menangis sambil berkata “Semoga Allah merahmatimu Aba Muhammad, sesungguhnya aku berasa amat sedih melihat engkau dibunuh di bawah bintang di langit. Kalaulah aku mati dahulu hingga aku tak lihat peristiwa ini“.

Tentera Ali juga membawa pedang Zubair bin Awwam yang dibunuh Amr ibn Jarmouz dengan gembira dan menyatakan mereka berjaya membunuh Zubair. Lalu Ali berkata mereka akan diberikan neraka kerana Ali mendengar Rasulullah berkata dlm hadisnya yang menyatakan, berikan neraka kepada pembunuh Zubair. Zubair ini adalah penolong nabi. Rasulullah pernah berkata “Setiap nabi mempunyai seorang penolong, Zubair ini adalah penolongku“. Ali telah sembahyangkan mayat dari kedua-dua tentera.

Dengan peperangan ini, semangat membantah kepada Ali semakin tinggi terutamanya Muawiyah bin Abu Sufiyan. Muawiyah berpendapat Ali sepatutnya melakukan Qisas dan mencari pembunuh Usman bila mula memerintah. Walaupun telah dipecat oleh Ali sebagai gabenor tetapi seluruh negara Syam masih lagi taat kepada Muawiyah.Beliau takkan berbai’ah kepada Ali sehingga pembunuh Usman dibunuh. Inilah yang menyebabkan berlaku peperangan Siffin yang akan aku ceritakan selepas ini.

KESIMPULAN PEPERANGAN JAMAL

Ramai ulama’ Ahli Sunnah berpendapat Saidina Ali dan Aisyah berperang dengan tidak sengaja kerana mengikut ijtihad masing-masing. Perang ini berlaku diluar pengetahuan mereka. Aisyah ke Basrah bukan untuk berperang. Aisyah berijtihad (berpendapat) keluarnya beliau dari Mekah itu membawa kebaikan kepada umat Islam. Namun sebaliknya yang berlaku.

Pendapat Syiah menyatakan Aisyah telah kumpulkan tentera untuk menyerang Ali sebagai khalifah yang sah di Madinah. Sedihnya inilah yang diajar kepada kita melalui buku di sekolah dan maklumat inilah yang ditulis di Wikipedia oleh orang-orang Syiah. Wallahua’lam

Nota kaki : Selamat bercuti kepada semua guru-guru di Malaysia :)

Nota kaki 2 : Cerita ini boleh didapati dalam tesis dan buku ‘Pertelingkahan Para Sahabat Nabi s.a.w: Antara Ketulenan Fakta Dengan Pembohongan Sejarah ‘ oleh Dr Asri dan seperti tafsiran buku-buku arab yang diceritakan oleh guru-guru aku.

Wassalam.

Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe

Peperangan Jamal part 1

Bismillahirrahmanirrahim

Hari ni aku nak cerita tentang pertelingkahan para sahabat selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Memandangkan kisah ni panjang, aku bahagi beberapa bahagian untuk Perang Jamal dan Perang Siffin. Aku mula dengan peperangan Jamal antara Khalifah Ali dengan Saidatina Aisyah, isteri Rasulullah. Peperangan ini disertai oleh beberapa sahabat Rasulullah yang dijamin masuk syurga dan mereka mati dibunuh orang Islam sendiri. Bagaimana kedudukan mereka di sisi agama?

Tujuan aku buat begini kerana aku dapati masih ramai yang tidak tahu serta keliru dan hampir semua buku teks sejarah Islam masa sekolah dulu dicemari dengan fahaman Syiah yang membuatkan kita rasa benci dengan ramai sahabat Rasulullah termasuk aku dahulu. Aku rasa sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita kena mengetahui kedudukan sebenar perkara ini serta pandangan ulama’ sunnah mengenainya. Aku cuba terangkan dalam bahasa paling mudah dan ringkas.

KEMATIAN UMAR AL-KHATTAB

Umar Al-Khattab mati dibunuh ketika sedang solat subuh oleh seorang Majusi (penyembah api) bernama Luluah al-Farisi. Berbeza ketika Khalifah Abu Bakar meninggal dunia, beliau hanya menamakan Umar sebagai penggantinya yang layak sebagai khalifah. Tetapi Umar Al-Khattab telah menamakan 6 orang pengganti jika beliau mati.

Antaranya Abu Ubaidah Al Jarrah, Ali bin Abi Talib, Abdul Rahman bin Auf dan Usman bin Affan. Sebenarnya pilihan pertama Umar adalah Abu Ubaidah Al-Jarrah tetapi beliau telah meninggal dunia ketika itu akibat penyakit taun. Sahabat lain yang dicadangkan menolak dan hanya tinggal Ali, Abdul Rahman dan Usman sahaja.

Abdul Rahman bin Auf juga menarik diri tetapi beliau menawarkan diri untuk menjadi orang tengah. Beliau akan membuat bancian di kalangan penduduk Madinah sama ada mahu Ali bin Abi Talib ataupun Usman bin Affan sebagai khalifah. Setelah membuat bancian beliau telah berjumpa dengan keduanya dan mereka redha dengan apa juga keputusan Abdulrahman.

Lalu Abdulrahman mengangkat tangan Usman dan menyatakan orang Madinah lebih ramai memilih beliau. Perkara ini menjadi titik tolak perpecahan umat Islam ketika itu kerana pihak yang menyokong Ali mendakwa Abdulrahman tidak berlaku adil kerana beliau mempunyai hubungan persaudaraan dengan Usman (sepupu).

PEMERINTAHAN USMAN BIN AFFAN

Personaliti Khalifah Usman adalah sangat berbeza dengan Khalifah Umar. Umar adalah seorang yang tegas dalam pemerintahan hingga empayar Islam semakin luas di zamannya. Manakalah Usman adalah seorang yang lemah lembut dan lebih banyak bersabar. Ketika Usman memegang jawatan khalifah umurnya hampir 80 tahun.

6 tahun pertama pemerintahannya Madinah dalam keadaan aman. 6 tahun selepas itulah dikatakan pemberontakan semakin banyak dalam negara Islam. Abdullah Ibn Saba’ merupakan seorang yahudi dari Son’a yang memeluk Islam telah bergerak ke satu negeri ke negeri lain menyebarkan fitnah kepada Usman di kawasan jajahan takluk Islam seperti Kufah, Basra dan Mesir.

Beliau mendakwa Usman telah salah guna kuasa dengan memberi kekayaan kepada keluarganya dan saudara maranya, merampas tanah orang miskin, gabenor2 Usman yang dilantik adalah zalim dan sebagainya. Walaupun Usman telah menghantar surat menjelaskan perkara sebenar kepada jajahan pemerintahan Islam setelah berita itu tersebar tetapi ia tidak meredakan fitnah tersebut.

Abdullah Ibn Saba’ telah mengumpulkan pemberontak dari negeri Kufah, Basrah dan Mesir datang ke Madinah untuk berdialog dengan Usman. Usman menjawab semua pertanyaan mereka hingga mereka tidak mampu memberikan hujah lain. Menjawab pertanyaan beliau menyeleweng harta negara, Usman memberitahu kini beliau hanya mempunyai 2 ekor kuda untuk menunaikan haji ke Mekah sedangkan sebelumnya beliau seorang yang kaya raya. Para sahabat di Madinah ketika itu mencadangkan supaya Usman menahan pemberontak ini dari keluar dari Madinah. Kalau di zaman Umar mereka ini pasti kena hukum. Tetapi Usman berlembut dan memaafkan mereka.

PEMBUNUHAN USMAN (FITNAH BESAR UMAT ISLAM)

Tindakan Usman memaafkan mereka menyebabkan pemberontak ini semakin berani. Mereka membuat surat palsu dari Ali (kepada penduduk Mesir), Zubir Awwam (kepada penduduk Kufah) dan Abi Talhah (kepada penduduk Basra) untuk memujuk mereka menyerang Madinah kecuali Syam. Mereka menggunakan ketiga-tiga mereka kerana mereka sahabat nabi yg dijamin syurga dan dihormati. Syam (Syiria) tidak dipengaruhi oleh pemberontak ini kerana diperintah oleh Muawiyah yang merupakan saudara kepada Usman. Muawiyah seorang yang tegas dan beliau dilantik oleh Khalifah Umar sebelum ini.

Akhirnya mereka datang dari pelbagai penjuru Madinah ketika musim haji. Mereka memilih musim haji kerana ramai sahabat nabi akan pergi menunaikan haji ke Mekah. Pemberontak ini mengepung rumah Usman. Terdapat beberapa sahabat yang cuba menolong Usman termasuk Abu Hurairah, Hisam yang dihantar Ali dan beberapa orang lain. Tetapi Usman menyuruh mereka pulang dan tidak perlukan perlindungan.

Sebenarnya Usman dah merasakan beliau akan dibunuh pada hari tersebut. Ia ada disebutkan dalam hadis Rasulullah tentang pergolakan yang akan berlaku ketika pemerintahan Usman. Malah beliau bermimpi bertemu Rasulullah dan berbuka dengan baginda pada malam itu. Beliau mengenakan seluar iaitu pakaian yang berbeza daripada pakaian arab lain pada ketika itu. Beliau khuatir auratnya akan tersingkap jika beliau mati nanti.

Pada ketika itu Usman telah berusia 90 tahun. Beliau berpuasa pada hari tersebut. Ketika pemberontak menyerbu masuk ke rumahnya, beliau sedang membaca masyhaf Al-Quran. Pemberontak tersebut menghentak kepala Usman dengan besi hingga darahnya terkena masyhaf Al-Quran tersebut. Masyhaf tersebut masih boleh dilihat pada masa ini. Pemberontak kemudiannya memotong jari tangan isteri Usman iaitu Nailah.

Maka terjadilah fitnah terbesar dalam dunia Islam ketika itu iaitu pembunuhan seorang khalifah Islam yang menyebabkan perpecahan yang lebih besar dari sebelum ni. Selama 5 hari selepas itu umat Islam tiada pemimpin. Pemberontak yang membunuh Usman masih berada dalam Madinah. Jumlahnya kira-kira 2000-3000 orang.

Dalam bahagian 2 nanti, aku ceritakan pula bagaimana Ali menjadi khalifah selepas itu. Kenapa kumpulan pimpinan Saidatina Aisyah bersama Abi Talhah dan Zubair bin Awwam yang semuanya dijamin syurga keluar dari Mekah menuju ke Madinah selepas mendengar pemberontak mengepung rumah Usman. Adakah mereka mahu berperang dengan Ali yg dilantik selepas itu? Cerita inilah yang diputar belit oleh orang-orang Syiah yang banyak ada dalam buku teks sejarah Islam. Tunggu sambungannya.

Nota kaki : Cerita ini boleh didapati dalam tesis dan buku ‘Pertelingkahan Para Sahabat Nabi s.a.w: Antara Ketulenan Fakta Dengan Pembohongan Sejarah ‘ oleh Dr Asri dan buku-buku arab yang diceritakan oleh guru-guru aku.

Nota kaki 2 : Klik ni untuk baca bahagian kedua : Perang Jamal Part 2

Wassalam.

Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe