Cerita batasan aurat pengantin

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, aku baru kebah dari demam. Mungkin ujian Allah nak hapuskan dosa-dosa lepas aku yang banyak. Rasa agak lama tak update full entry sebab kesibukan di kantor. Sebenarnya aku nak cerita sikit tentang batasan aurat bagi pasangan pengantin yang baru mendirikan rumah tangga. Mudah-mudahan boleh jadi pahala untuk aku bila mati kelak.

Memang secara lumrah dan kebiasaan masyarakat kita ramai tidak bersalaman/bersentuhan lelaki dan perempuan yg bukan mahram. Namun perkara ini benar-benar diuji ketika majlis perkahwinan dan selepasnya. Ketika pengantin bersanding di atas pelamin, saudara mara yang datang tersebut bukan semuanya boleh bersentuhan dengan kita dan pasangan.

Norsholaty & Nazim, Kanchong Darat, Banting

Di kalangan pakcik, makcik, sepupu dan saudara mara yang hadir, hanya kita yang tahu mereka boleh bersalam dengan isteri/suami kita ataupun tidak. Jadi aku rasa perkara ini juga perlu dimasukkan dalam perbincangan sebelum majlis kahwin. Perkara ini walaupun nampak remeh ia melibatkan hukum dan implikasi dosa dan pahala.

Sebenarnya ia bukan setakat boleh bersalaman/bersentuhan, ia juga lebih luas iaitu boleh membuka aurat di hadapan mereka semua jika mahram. Kalau nak cerita bab ni memang panjang lebar. Tapi gambar rajah di bawah boleh jadi panduan kepada kita semua secara ringkas. Suami dan isteri kena jelas tentang perkara ini.

GAMBAR FULL : MAHRAM BAGI SEORANG WANITA MUSLIM

Bagi seorang lelaki, ujian paling besar sebenarnya apabila berada di rumah orang tua kita. Ramai menyangka hukum ini tidak terpakai kerana mereka keluarga kita. Tetapi tanpa sedar adik beradik suami juga tidak boleh melihat aurat isteri kita mahupun bersentuhan dengan mereka selagi dia menjadi isteri kita. Suami juga akan menanggung semua dosa-dosa isteri tersebut jika tidak berusaha menjaganya.

Ringkasnya :
– Adik beradik suami TIDAK BOLEH lihat aurat isteri apatah lagi bersentuhan.
– Sepupu BUKAN mahram. Boleh berkahwin dengan mereka. Jadi aurat kena jaga seperti biasa.
– Bila isteri masuk dalam keluarga suami, dia HANYA boleh bersalam dengan semua ahli keluarga perempuan sahaja + bapa mertua. Selain daripada itu TIDAK BOLEH.

Ada sebab Islam gariskan mahram untuk kita semua. Garis panduan ini bertujuan untuk menjaga keharmonian keluarga dan kesucian setiap insan. Mudah-mudahan kita berusaha ke arah itu dan bagi pasangan yang akan mendirikan rumah tangga perlu ambil berat tentang perkara ini. Begitu juga bagi pasangan yang telah berkahwin boleh perbaiki perkara ini. Semoga Allah berikan pahala yang besar bagi sesiapa yang menjaga urusan aurat ini. Wallahua’lam.

Wassalam.

Dosa tangan yang besar.

Bismillahirrahmanirrahim

Jumaat Barakah semua sahabat. Nak kongsi sedikit tazkirah yang aku dengar pagi tadi. Zaman sekarang dosa tidak lagi banyak diperolehi daripada penglihatan, pendengaran mahupun kata-kata seperti zaman sebelum ini. Dalam zaman sosial media ini, sebenarnya dosa yang paling banyak kita lakukan ialah menggunakan tangan iaitu menulis, menyebarkan berita, menyambung fitnah, putuskan silaturrahim dan perkara seumpamanya. Hanya dengan tangan.

Walaupun hakikatnya kita seorang pendiam, jarang berbual dengan orang lain, duduk di rumah sahaja dan tidak melihat benda2 dosa tetapi bila dihadapan komputer ia merupakan satu dunia yang berbeza. Tanpa sedar dunia tersebut memang tiada beza dengan dunia sebenar dari segi pengiraan pahala dan dosa. Malah kerosakan yang dilakukan kadangkala lebih besar dan mungkin dosanya jauh lebih besar dari dosa-dosa masyarakat zaman dahulu.

Atikah & Khaidir, Sungai Kelambu, Banting

Ustaz juga berkali-kali menekankan, dosa menggunakan tangan ini pada zaman sekarang lebih besar impak kepada timbangan dosa dan pahala kita. Kita kena sentiasa beringat ketika online biarpun bersendirian di dalam rumah. Dosa dan pahala tetap dicatat dan tangan kita akan menjadi saksi kita di akhirat tentang apa yang kita lakukan tersebut.

Jadi berhati-hatilah dalam mengeluarkan sebarang pendapat dan pandangan. Berhati-hati ketika menyebarkan berita yang kita tidak tahu kerana dikhuatiri ia mengandungi fitnah dan dosa. Berhati-hati ketika menulis agar tiada silaturrahim terputus dan ukhuwah yang renggang disebabkan tulisan kita tersebut. Walaupun kita mendakwa menulis tentang kebenaran tetapi soal akhlak tetap perlu dijaga. Kita bertanggung jawab sepenuhnya tentang apa yang kita baca dan tulis. Akhlak dan keperibadian juga boleh dinilai melalui tulisan dan pandangan seseorang. Mudah-mudahan kita lebih berhati-hati dalam perkara ini insyaallah. Wallahua’lam.

Wassalam.

Socio-economic superiority

Bismillahirrahmanirrahim

Semalam aku ada baca satu artikel tentang gaya hidup masyarakat di Malaysia. Menurut penulis tersebut, ramai ingin dilihat sebagai ‘kaya dan berjaya‘ dalam hidup yang mendorong mereka sebenarnya hidup tidak bahagia. Malah ramai antara mereka berusaha keras bekerja untuk tunjuk kepada orang lain mereka lebih bahagia dan berjaya dari kawan-kawan mereka.

Mereka rasa dengan adanya rumah besar, memakai handbag mahal, berpakaian berjenama, berkereta selesa dan mewah serta menjalani gaya hidup moden melambangkan ‘socio-economic superiority‘ mereka berbanding orang sekeliling mereka. Ia jadi prioriti dalam hidup walau mereka tak pernah mengaku dan sedar perkara itu.

Aqmalina & Fadly, Shah Alam

Dr Aqmalina & Dr Hafifi, Paroi Negeri Sembilan.

Malangnya perkara tersebut menyebabkan ramai rakyat Malaysia berbelanja melebihi kemampuan dan berhutang dengan kadar tidak perlu. Tanpa sedar mereka sebenarnya merisikokan masa tua mereka untuk kelihatan ‘berjaya’ ketika usia muda. Sedangkan dengan hutang yang banyak dan tiada simpanan mereka bakal muflis dan hidup dalam kemiskinan kelak.

Statistik muflis di negara kita menunjukkan ramai telah muflis di bawah umur 35 tahun. Personal loan dan hutang kad kredit jadi penyumbang utamanya. Berapa ramai antara kita tahu keperluan duit kita setiap bulan selepas kita bersara kelak? Adakah cukup hanya dengan duit KWSP untuk hidup lagi 20 tahun setiap bulan? Berapa ramai dah buat persediaan ke arah itu atau pernah terfikir ketika muda?

Penulis berbangsa cina itu juga mengatakan kebahagiaan yang diperolehi dengan jalan hidup kelihatan mewah tidak akan berkekalan lama. Satu masa, bila menghadapi masalah kewangan mereka tidak lagi rasa bahagia. Harga dirinya jatuh, fikirannya kusut & merasakan diri tidak bahagia lagi. Sedangkan kebahagian sebenar sudah tentu datang dari dalam diri. Keluarga yang bahagia, anak2 yang baik, kewangan yang sihat, berbuat amal ibadah, buat baik kepada orang lain dll.

Kadangkala, pelik juga kita sebagai muslim tidak terlepas dari perasaan bermegah, ingin dipuji, bangga diri dan suka tunjuk kelebihan kepada orang lain. Sedangkan semua yang Islam ajar adalah sebaliknya. Sifat merendah diri, bersederhana, bersyukur. Orang bukan Islam boleh faham konsep tersebut lebih baik dari kita. Duit memang takkan boleh beli bahagia. Tetapi dengan urus kewangan dengan baik, kita akan lebih bahagia insyaallah. Tiada masalah kita kelihatan ‘kurang kaya & berjaya’ di mata orang lain. Asalkan kita rasa bahagia & kewangan kita sihat sampai akhir hayat kita. Wallahua’lam.

Nota kaki : Insyaallah akan update majlis kat atas ni dalam entry akan datang:)

Wassalam.

Mencari bakal isteri

Bismillahirrahmanirrahim

Jamal seorang pemuda yang sederhana dan baik. Dia telah bersedia untuk berumahtangga sejak beberapa tahun lepas dan sedang mencari-cari calon isteri. Ada kerisauan di dalam hatinya memandangkan usianya yang telah melangkaui usia 30an. Namun sehingga kini beliau masih tidak berjumpa dengan seorang wanita yang mempunyai ciri-ciri yang diharapkan olehnya. Dia ada berkenalan dengan 2 orang gadis sebelum ini. Kedua-duanya berminat kepada dirinya. Namun pada pandangan Jamal mereka tidak sesuai untuk dirinya.

Fiza & Mazli, Selayang

Amira seorang yang solehah dan baik akhlaknya. Tetapi dia impikan seorang isteri yang berwajah cerah dan tinggi. Sedap mata memandang katanya. Sedang Amira seorang yang berkulit agak gelap, sedikit berisi dan rendah. Fatin pula menepati ciri fizikal yang beliau impikan. Namun sayangnya Fatin kurang dari segi agamanya. Bertudung hanya sekadarnya sahaja. Bahasa pertuturannya agak kasar dan keras. Pada pandangan Jamal dia agak sosial sedang dia mahu seorang isteri yang kehidupannya bertunjangkan keagamaan.

Satu hari dia berjumpa Kauthar setelah diperkenalkan oleh seorang kawannya. Dia memiliki segala ciri yang Jamal dambakan sebagai seorang isteri selama ini. Dia benar-benar sempurna. Berwajah cerah, tinggi dan yang paling penting mempunyai perwatakan muslimah yang baik. Lagipun Kauthar muda setahun daripadanya. Akhirnya Jamal memutuskan untuk melamar Kauthar.

Namun ketika hasrat melamar Kauthar diluahkan kepadanya Kauthar telah menolak. Betapa luluh hati Jamal. Bila ditanya kepada Kauthar kenapa menolak lamaran daripada Jamal, rupa-rupanya Kauthar juga sedang mencari seorang bakal suami yang sempurna. Jamal tidak menepati ciri-ciri suami yang Kauthar impikan dalam hidupnya.

Rezeki

Bismillahirrahmanirrahim

Aku sekarang terlibat dalam proses mendokumentarikan kejayaan asnaf yang telah dibantu oleh Lembaga Zakat Selangor melalui program usahawan. Aku shoot video dalam 2-3 minggu ni di seluruh Selangor asnaf yang berjaya dan interview mereka. Jadi secara tidak langsung aku tahu situasi mereka sebelum dan selepas berjaya dalam berniaga.

Fiza & Mazli, Kuala Lumpur

Ada asnaf yang sebelum ni hidup sangat susah dan terpaksa meminta2 untuk sesuap nasi buat keluarga. Tetapi kini pendapatan mereka mencecah puluhan ribu sebulan. Malah ada asnaf yang dibantu oleh LZS ini berjaya memperolehi pendapatan lebih RM100,000 sebulan bersih. Teringat 3 tahun lepas masa kitorang melawat beliau ketika baru mendapat bantuan modal perniagaan & peralatan daripada LZS. Masa tu aku dah yakin dia akan berjaya melihat kesungguhan beliau dan terbukti sekarang.

Lebih menarik pendapatan beliau tersebut jauh mengatasi semua orang yang kerja di institusi zakat termasuklah CEO kitorang:) Bukan sedikit yang memperolehi pendapatan lumayan dan keluar dari kemiskinan. Setiap tahun lebih 150 asnaf berjaya dikeluarkan oleh LZS. Tetapi sebenarnya ada juga yang dibantu dan mengalami kegagalan. Itu adalah cabaran kepada LZS.

Bila kita lihat hidup ni secara keseluruhan, lihatlah bagaimana Allah membahagikan rezeki & nikmat kepada manusia. Selama 40 tahun hidup susah tiba2 Allah bagi rezeki yang banyak. Ada yang sebelumnya hidup mewah tetapi Allah uji dengan kesusahan dan kepayahan. Ada yang rezekinya sederhana sahaja sepanjang hidupnya. Asasnya sama, Allah nak lihat keimanan dan kesabaran kita hidup di dunia yang sementara ni. Wallahua’lam.

Nota kaki : Selamat bercuti sekolah kepada semua cikgu-cikgu. Masa untuk berehat dan lapangkan fikiran:) 

Kebersihan jiwa

Bismillahirrahmanirrahim

Semalam aku ada lihat satu status Facebook yang menyebabkan pergaduhan adik beradik dan saudara mara. Kemudian di tambah dengan komen kawan-kawan yang seperti mencurah minyak di api yang marak. Nauzubillah. Dalam hidup bermasyarakat ni adakalanya kita tak perlu luahkan segala yang terbuku di dalam hati kita. Orang yang bijak biasanya dapat kawal apa yang diperkatakan mahu pun ditulis terutama bila melibatkan emosi dan cerita kelemahan orang lain.

Teaser Faradilla & Hasif, Kebun Baru, Telok Panglima Garang

Ustaz selalu bagitau apa yang kita rasa betul belum tentu betul di sisi Allah. Untuk tahu kebersihan jiwa lihat berapa kali kita marah dan sakit hati. Jika banyak marah dan selalu mengenang kebaikan kita pada orang dan kejahatan orang pada kita alangkah jauh nya kita dari Allah dan ketenangan jiwa. Imam Ghazali apabila melihat orang lain sentiasa merasakan orang itu lebih baik dari beliau. Susahnya nak capai tahap itu.

Dalam pertahankan pendapat ketika berhujah dan berbicara semasa musim pilihanraya ini, berhati-hatilah agar tidak menyakiti hati orang lain. Kalau kita pilih untuk bermusuh dan menyakiti pihak lawan, percayalah hati kita tidak akan tenang dan tenteram. Orang tidak pertikai apa yang kita perjuangkan TETAPI orang pertikai cara kita mencapainya.

Mudah-mudahan Allah pelihara kita semua dari fitnah dan keburukan dunia. Insyaallah kalau kita jaga ukhuwah dan akhlak dengan orang lain, Allah pelihara diri kita dari pandangan buruk dan negatif orang lain. Wallahua’lam.

 

Nota kaki : Sepanjang 2 minggu ni kitorang sedang dalam upgrade sistem baru kutipan dan agihan zakat di seluruh Selangor. Kena turun ke kaunter seluruh negeri untuk setup sistem & selesaikan bug. Update full masih belum sempat dijalankan buat masa ni. Tapi shoot wedding setiap minggu seperti biasa dan album berjalan lancar:) 

 

Wassalam.

Kisah Abu Ubaidah Al Jarrah

Bismillahirrahmanirrahim

Abu Ubaidah Al-Jarrah merupakan sahabat nabi dan perawi hadis yang terkemuka. Beliau mempunyai keperibadian mulia, jujur, tawadu’ dan pemalu. Bagaimanapun, di sebalik sikap pemalu itu, tersemat semangat juang kental dan tinggi di jiwanya. Rasulullah pernah berkata “Setiap umat ada penjaga amanahnya dan penjaga amanah bagi umatku adalah Abu Ubaidah Al Jarrah“. Beliau pernah mengeluarkan besi yang tertusuk di pipi Rasulullah dalam peperangan Uhud menggunakan mulutnya.

Selepas Rasulullah wafat, nama beliau antara yang disebut untuk menggantikan Rasulullah sebagai khalifah selain Abu Bakar dan Umar. Malah Abu Ubaidah juga merupakan pilihan pertama Saidina Umar untuk menggantikan beliau sebagai khalifah umat Islam jika beliau meninggal dunia. Tetapi hajat Umar tidak kesampaian kerana Abu Ubaidah meninggal akibat penyakit taun di Syam.

Teaser Adawina & Suhaimi, Cheras

Ketika penyakit taun menyerang Syam (Syiria), hampir 20,000 penduduk telah meninggal dunia akibat penyakit berjangkit tersebut. Abu Ubaidah ketika itu baru membebaskan Baitul Muqaddis daripada Rom bersama tenteranya berada di Syam. Banyak tenteranya mati akibat penyakit taun tersebut.

Saidina Umar berasa risau tentang keselamatan Abu Ubaidah telah mengutus surat kepadanya di Syam supaya pulang ke Madinah. Antara kandungan surat tu berbunyi “Jika engkau membaca surat ini, pulanglah ke Madinah kerana ada perkara yang ingin aku tanyakan“. Namun Abu Ubaidah dapat membaca niat Umar tersebut yang risau keselamatannya.

Lalu Abu Ubaidah membalas surat tersebut yang mengatakan beliau tidak akan meninggalkan tenteranya di Syam dan mengingatkan tentang hadis Rasulullah yang tidak membenarkan seseorang itu meninggalkan kawasan penyakit berjangkit jika telah berada di dalamnya. Saidina Umar mengangis ketika terima surat tersebut hingga ramai menyangka Abu Ubaidah telah meninggal dunia.

Tidak lama selepas itu, beliau juga dijangkiti penyakit taun dan meninggal dunia ketika berusia 58 tahun. Ada yang mengatakan beliau sendiri mohon kepada Allah agar terkena penyakit taun itu sebab ramai tenteranya telah mati. Sumbangannya kepada agama Islam sangat besar. Abu Ubaidah al-Jarrah dikenang membawa beberapa teladan yang sangat berkesan kepada seluruh umat Islam. Mudah-mudahan ramai tahu serba sedikit tentang sahabat besar nabi ini. Wallahua’lam.

Wassalam.

Syazreen & Wan, Serdang

Bismillahirrahmanirrahim

Semalam seorang ulama’ besar Syeikh Said Ramadan Al-Buti meninggal dunia dalam serangan berani mati ketika memberikan kuliahnya di sebuah masjid di tengah kota Syiria ketika berusia 84 tahun. Beliau sangat terkenal dengan penulisan buku yang jadi rujukan agama di seluruh dunia seperti kitab Fiqh Sirah, Kitab Kubra al-Yaqiniyat dll. Malah kitab Fiqh Sirah tersebut pernah menjadi sillabus dalam universiti-universiti tempatan di Malaysia.

Walaupun mungkin ada beberapa pendapat beliau yang berbeza dengan kita kebelakangan ini tetapi ia sedikitpun tidak mengurangi kasih sayang kita kepada ulama’ agung ini. Kalau faham bahasa arab dan baca kitab-kitab beliau bahasanya sangat cantik dan indah. Pemikirannya kritis. Orangnya rendah diri. Semoga Allah SWT mengurniakan Almarhum Sheikh dengan sebaik2 ganjaran.

Kali ni aku nak update wedding pasangan Syazreen & Wan yang diadakan di Serdang. Memandangkan kesibukan di ofis dalam 1-2 minggu ni aku sempat update sesi outdoor diaorang je. Tempat ni kawasan baru kat dalam UPM. Terima kasih kat sahabat aku Cot yang tunjukkan kawasan ni.

Sebenarnya masa nak kuar outdoor tu hujan turun dengan lebat. Pastu kitorang tunggu teduh. Haripun dah agak lewat tak dapat shoot lelama sangat. Rasanya tak sampai 20 minit. Untuk akhirnya, semoga kedua pasangan pengantin ini sentiasa dalam rahmat dan mawaddah dan hubungan ini berkekalan bahagia sampailah ke syurga,ameen. Insyaallah jumpa dalam entry akan datang. Selamat hari jumaat yang berkat semua teman-teman.

Wassalam.