Dosa tangan yang besar.

Bismillahirrahmanirrahim

Jumaat Barakah semua sahabat. Nak kongsi sedikit tazkirah yang aku dengar pagi tadi. Zaman sekarang dosa tidak lagi banyak diperolehi daripada penglihatan, pendengaran mahupun kata-kata seperti zaman sebelum ini. Dalam zaman sosial media ini, sebenarnya dosa yang paling banyak kita lakukan ialah menggunakan tangan iaitu menulis, menyebarkan berita, menyambung fitnah, putuskan silaturrahim dan perkara seumpamanya. Hanya dengan tangan.

Walaupun hakikatnya kita seorang pendiam, jarang berbual dengan orang lain, duduk di rumah sahaja dan tidak melihat benda2 dosa tetapi bila dihadapan komputer ia merupakan satu dunia yang berbeza. Tanpa sedar dunia tersebut memang tiada beza dengan dunia sebenar dari segi pengiraan pahala dan dosa. Malah kerosakan yang dilakukan kadangkala lebih besar dan mungkin dosanya jauh lebih besar dari dosa-dosa masyarakat zaman dahulu.

Atikah & Khaidir, Sungai Kelambu, Banting

Ustaz juga berkali-kali menekankan, dosa menggunakan tangan ini pada zaman sekarang lebih besar impak kepada timbangan dosa dan pahala kita. Kita kena sentiasa beringat ketika online biarpun bersendirian di dalam rumah. Dosa dan pahala tetap dicatat dan tangan kita akan menjadi saksi kita di akhirat tentang apa yang kita lakukan tersebut.

Jadi berhati-hatilah dalam mengeluarkan sebarang pendapat dan pandangan. Berhati-hati ketika menyebarkan berita yang kita tidak tahu kerana dikhuatiri ia mengandungi fitnah dan dosa. Berhati-hati ketika menulis agar tiada silaturrahim terputus dan ukhuwah yang renggang disebabkan tulisan kita tersebut. Walaupun kita mendakwa menulis tentang kebenaran tetapi soal akhlak tetap perlu dijaga. Kita bertanggung jawab sepenuhnya tentang apa yang kita baca dan tulis. Akhlak dan keperibadian juga boleh dinilai melalui tulisan dan pandangan seseorang. Mudah-mudahan kita lebih berhati-hati dalam perkara ini insyaallah. Wallahua’lam.

Wassalam.

Fiza & Mazly, Universiti Malaya

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah dapat juga aku update blog ni. Sebenarnya kebelakangan ni agak sibuk dengan kerja di ofis. Sementelahan kursus di luar yang memerlukan aku tiada di ofis untuk beberapa hari. Pertama kali aku ke Pulau Pangkor bersama sahabat-sahabat di ofis. Aku ada cerita sikit kat personal blog aku perjalanan ke sana.

Aku update sikit pasangan Fiza & Mazly yang diadakan di dewan dalam Universiti Malaya. Aku rasa kepada sesiapa di kawasan berhampiran yang mencari dewan untuk berkahwin, bolehlah mempertimbangkan untuk sewa kat dalam UM sebab banyak juga dewan yang besar dan selesa yang sesuai digunakan untuk majlis perkahwinan. Sesi outdoorpun buat tepi jalan dalam UM tu je:)

Tahniah kepada kedua-dua pasangan yang dirai. Semoga ikatan perkahwinan ini berkekalan bahagia hingga akhir hayat,amin. Insyaallah jumpa lagi dalam next entry. Ada beberapa pasangan lagi aku nak update:) Sebenarnya ada pasangan pengantin yang memilih untuk tidak dipaparkan majlis perkahwinan mereka di blog atau di mana-mana medium. Aku tiada masalah tentang tu dan hormati privacy mereka:) Wallahua’lam.
 

Wassalam.

Socio-economic superiority

Bismillahirrahmanirrahim

Semalam aku ada baca satu artikel tentang gaya hidup masyarakat di Malaysia. Menurut penulis tersebut, ramai ingin dilihat sebagai ‘kaya dan berjaya‘ dalam hidup yang mendorong mereka sebenarnya hidup tidak bahagia. Malah ramai antara mereka berusaha keras bekerja untuk tunjuk kepada orang lain mereka lebih bahagia dan berjaya dari kawan-kawan mereka.

Mereka rasa dengan adanya rumah besar, memakai handbag mahal, berpakaian berjenama, berkereta selesa dan mewah serta menjalani gaya hidup moden melambangkan ‘socio-economic superiority‘ mereka berbanding orang sekeliling mereka. Ia jadi prioriti dalam hidup walau mereka tak pernah mengaku dan sedar perkara itu.

Aqmalina & Fadly, Shah Alam

Dr Aqmalina & Dr Hafifi, Paroi Negeri Sembilan.

Malangnya perkara tersebut menyebabkan ramai rakyat Malaysia berbelanja melebihi kemampuan dan berhutang dengan kadar tidak perlu. Tanpa sedar mereka sebenarnya merisikokan masa tua mereka untuk kelihatan ‘berjaya’ ketika usia muda. Sedangkan dengan hutang yang banyak dan tiada simpanan mereka bakal muflis dan hidup dalam kemiskinan kelak.

Statistik muflis di negara kita menunjukkan ramai telah muflis di bawah umur 35 tahun. Personal loan dan hutang kad kredit jadi penyumbang utamanya. Berapa ramai antara kita tahu keperluan duit kita setiap bulan selepas kita bersara kelak? Adakah cukup hanya dengan duit KWSP untuk hidup lagi 20 tahun setiap bulan? Berapa ramai dah buat persediaan ke arah itu atau pernah terfikir ketika muda?

Penulis berbangsa cina itu juga mengatakan kebahagiaan yang diperolehi dengan jalan hidup kelihatan mewah tidak akan berkekalan lama. Satu masa, bila menghadapi masalah kewangan mereka tidak lagi rasa bahagia. Harga dirinya jatuh, fikirannya kusut & merasakan diri tidak bahagia lagi. Sedangkan kebahagian sebenar sudah tentu datang dari dalam diri. Keluarga yang bahagia, anak2 yang baik, kewangan yang sihat, berbuat amal ibadah, buat baik kepada orang lain dll.

Kadangkala, pelik juga kita sebagai muslim tidak terlepas dari perasaan bermegah, ingin dipuji, bangga diri dan suka tunjuk kelebihan kepada orang lain. Sedangkan semua yang Islam ajar adalah sebaliknya. Sifat merendah diri, bersederhana, bersyukur. Orang bukan Islam boleh faham konsep tersebut lebih baik dari kita. Duit memang takkan boleh beli bahagia. Tetapi dengan urus kewangan dengan baik, kita akan lebih bahagia insyaallah. Tiada masalah kita kelihatan ‘kurang kaya & berjaya’ di mata orang lain. Asalkan kita rasa bahagia & kewangan kita sihat sampai akhir hayat kita. Wallahua’lam.

Nota kaki : Insyaallah akan update majlis kat atas ni dalam entry akan datang:)

Wassalam.

Mustakhim + Farhana, Sungai Petani.

Bismillahirrahmanirrahim

Pagi ni hujan lebat dalam perjalanan ke tempat kerja. Teringat dulu masa pergi kerja menaiki motor melalui highway dan hujan turun dengan lebat. Tiada jambatan nak berteduh. Sampai ofis basah lencun. Rasanya sampai tengahari baru kering baju tu. Ramai orang menaiki motor bukan kerana tiada kereta tapi lebih mudah & elak kesesakan ketika pergi dan pulang kerja.

Tetapi ramai juga yang menaiki motor kerana ia satu-satunya pengangkutan yang ada untuk mereka. Dengan kenaikan harga minyak ini sudah pasti ia memberi satu beban baru bagi yang kurang berkemampuan. Bukan sebab tambahan belanja petrol tersebut, tetapi kesan domino yang bakal menaikan harga barang lain secara langsung.

Aku ada ulas sedikit tentang kenaikan minyak ni dalam personal blog aku ni. HARGA MINYAK : Rakyat vs Kerajaan.

Aku update sesi outdoor pasangan Mustakhim dan Farhana yang berlangsung di Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani, Kedah.
 

 

Tahniah aku ucapkan kedua pasangan yang diraikan ini. Semoga ikatan ini kekal bahagia sampai ke syurga,amin. Dah lama aku tak shoot di luar Lembah Klang sebenarnya. Aku cuba kurangkan job di luar Selangor kerana kesibukan kerja-kerja ofis. Mungkin aku dah tidak ambil tugasan jauh seperti ini lagi selepas ini.

Terima kasih kepada sahabat baik aku Halil & Saipi yang sudi teman aku dari KL sampai ke sini. Terima kasih juga kepada housemate aku masa kat UTM, Skudai dulu Yoes yang follow shoot kat sini. Kalau tak ke Sungai Petani ni, takdelah dapat jumpa dia yang kerja jauh sampai sini,hehe. Terima kasih semua. Semoga Allah membalas jasa baik kalian dengan pahala,amin. Sampai jumpa lagi dalam entry akan datang. Wallahua’lam.

Wassalam.

Farhana dan Mustakhim, Taman Maluri

Bismillahirrahmanirrahim

Kelmarin aku melawat seorang sahabat ofis yang diuji Allah dengan sakit kanser darah di PPUM. Rasa sedih dalam hati sebab semasa sihat sahabat tersebut sangat ceria dan tubuh badannya agak berisi. Tetapi dengan ujian kanser tersebut tubuh badannya kelihatan sangat kurus dan cengkung. Beliau masih muda dan mempunyai anak-anak yang masih bersekolah rendah.

Dalam satu ayat Quran, Allah ada menyebut akan menguji setiap hambanya yang beriman untuk lihat sejauh mana kekuatan iman seseorang hamba terhadap Allah. Kadangkala kita tidak tahu apa ujian yang akan bakal Allah beri sepanjang hidup kita untuk uji keimanan kita. Namun kita kena selalu berdoa dan berharap agar ujian tersebut tidak terlalu berat hingga kita dan ahli keluaga rasa berat menanggungnya. Ujian sakit ni bukan terhad kepada individu tersebut sahaja, tetapi ia juga satu bentuk ujian kepada isteri, anak-anak dan keluarga yang lainnya. Mudah-mudahan En Rais dan keluarga sabar menghadapi ujian tersebut.

Alhamdulillah dapat aku sambung entry kedua pasangan Farhana & Mustakhim ni. Minggu-minggu selepas raya ni agak sibuk sedikit sebab ada terlibat dengan banyak aktiviti di ofis dan shoot wedding pada hujung minggu.

 

Tahniah kepada kedua-dua pasangan pengantin yang diraikan. Semoga ikatan sudi yang terjalin ini berkekalan bahagia hingga ke akhir hayat seterusnya sambung di syurga kelak,amin.

Untuk makluman semua, semua tempahan wedding sehingga Februari 2014 telahpun penuh. Alhamdulillah, walaupun aku jarang update kebelakangan ini tetapi ramai yang masih bertanya tentang pakej dan tempahan majlis perkahwinan. Aku sangat hargai semua pertanyaan tersebut. Mudah-mudahan Allah luaskan rezeki kalian semua. Jazakallahukhair.

Wassalam.

Majlis Pernikahan Farhanah & Mustakhim, Taman Maluri

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah dah lama sungguh aku tak update apa2 entry kat blog ni:) Harini dah hampir pertengahan Syawal. Tapi kat sana sini masih ada mood raya terutamanya bila office banyak jemputan rumah terbuka. Walau bagaimana sibuk sekalipun kita, kalau boleh luangkan masa untuk tunaikan puasa 6 yang sangat dituntut dalam agama. Ia sebagai kesinambungan puasa Ramadan yang memberikan pahala seperti berpuasa sepanjang tahun. Sesuatu yang mustahil bagi sapa2 untuk lakukan.

Sebenarnya aku nak cerita pasal raya lepas. Tapi disebabkan macam dah basi je jadi takpelah boleh skip:) Boleh baca kat personal blog aku. Tapi alhamdulillah dengan nikmat dan izin Allah kita dapat meraikan hari kemenangan walau mungkin ada kedukaan kepada sesetengah kita yang kehilangan insan tersayang. Namun sebagai hamba Allah, kematian merupakan satu perkara rahsia milik Allah yang tersurat dalam qada’ dan qadar kita.

Aku update dulu majlis perkahwinan Farhanah & Mustakhim di Taman Maluri yang diadakan sebelum Ramadan lepas.

 

Farhanah ni merupakan anak bongsu dalam keluarga. Jarak antara beliau dengan adik beradik lain agak jauh. Tak silap majlis kahwin terakhir lebih 10 tahun lepas:) Mak ngan ayah Farhanah sangat peramah dan memberi kerjasama yang baik serta menghormati kerja aku sebagai photographer di majlis mereka. Insyaallah esok atau Isnin aku update pula majlis bersanding mereka berdua ini. Terima kasih kepada sahabat baik aku Zakuan Hassan yang turut membantu aku dalam majlis mereka berdua ini.

Takziah kepada semua keluarga mangsa nahas bas di Genting Highland semalam petang. Ajal ni boleh berlaku bila-bila masa. Sebab tu niat sebelum pergi kerja untuk ibadah dan mencari rezeki yang halal. Kalau meninggal dunia, kita mati dalam keadaan baik insyaallah. Wallahua’lam.

 

Wassalam.

Salam Lebaran 1434H:)

Bismillahirrahmanirrahim

Ramadan semakin melabuhkan tirainya. Rasa sayu mengenang masih tak mampu nak manfaatkan sebaiknya Ramadan dengan amal kebaikan. Selepas ni jemaah masjid dan surau kembali seperti asal. Solat Zohor, Isya’, Subuh akan terasa sangat berkurangan jemaahnya. Semoga amalan kebaikan yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadan ini diterima oleh Allah. Semoga madrasah Ramadan jadikan kita semua insan yang lebih baik.


Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Sempena kehadiran lebaran ni ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan untuk konsisten melakukan kebaikan. Pastikan kita sentiasa bertakbir meraikan kesyukuran sepanjang hari. Eratkan silaturrahim sesama keluarga dan saudara mara dengan mengunjungi mereka. Begitu juga ukhuwah sesama jiran & sahabat-sahabat kita. Jaga batas pergaulan. Jangan bersalaman dengan orang yang diharamkan untuk bersentuhan. Paling penting belajar untuk ‘OFFLINE’ dari internet untuk hubungkan ukhuwah.

Kadang-kadang aku ada rasa kasihan tengok orang yang hidupnya asyik dengan internet dan TV sahaja. Semua orang bergembira jalinkan ukhuwah, bergelak tawa, makan-makan dan bersalam-salaman, dia dengan dunianya sendiri. Update status di hp dan bersosial di alam maya untuk memberitahu keseronokannya yang palsu. Sepanjang tahun siang malam ada masa untuk itu, apa salahnya berhenti seketika.

Mohon maaf atas salah dan silap. Berhati-hati memandu di jalan raya ketika pulang dan kembali ke destinasi pada tahun ini. Pasti orang yang mati kemalangan tahun ni membaca berita-berita kematian pada tahun lepas. Tapi berapa ramai ambil pengajaran darinya. Taqabballahu minna wa minka. Jazakallahukhair jaza.


Nota kaki : Insyaallah aku beraya di Banting dulu tahun ni. Jemput datang rumah mak ngan abah aku ye sapa yang berhampiran.

Wassalam.

Ramadan datang lagi.

Bismillahirrahmanirrahim

Fiza & Mazli, UM

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah!! Ramadan semakin menghampiri. Bahangnya mulai terasa. Di qariah masjid setiap hari sejak 2 minggu lepas ada sahaja orang yang membuat kenduri arwah/tahlil sempena kehadiran Ramadan. Setiap malam makan free. Satu tradisi yang dah berakar umbi dalam masyarakat melayu sejak dahulu lagi.

Tahun lepas aku berjaya realisasikan impian aku sejak sekolah menengah iaitu bersolat tarawikh di 30 masjid berbeza sepanjang malam bulan Ramadan. Walaupun ia tidak memberi signifikan apa-apa tapi dengan buat begitu semangat untuk kerjakan ibadah setiap hari konsisten hingga akhir Ramadan. Sebab akan merasa suasana berbeza pada setiap malam.

Tahun ni aku ada matlamat lain yang insyaallah aku usaha untuk capai. Aku percaya setiap insan ada memori tersendiri tentang Ramadan mereka. Kalaulah tiada masa untuk melakukan ibadah khusus lain pada bulan Ramadan cukuplah mohon kepada Allah agar diampunkan dosa-dosa lepas. Keampunan Allah merupakan satu perkara terbesar bagi seorang insan yang sering melakukan dosa di atas muka bumi ini.

Besarnya rahmat Ramadan hingga pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu neraka ditutup. Semua pahala digandakan. Rugi kita kalau tak ambil manfaat dari kehadiran Ramadan. Rancang masa untuk ibadah kita sebaiknya. Insyaallah aku akan update seperti biasa pada bulan Ramadan ni:) Wallahua’lam.

Nota kaki : Kadar zakat fitrah di Selangor kekal RM7.00 seorang pada tahun ini.