Cerita Korban dari Bagan Datoh, Perak

Bismillahirrahmanirrahim


Alhamdulillah tahun ni ada rezeki untuk aku buat korban sekali lagi. Tapi kali ni aku buat kat kampung wife di Matang Kunda, Bagan Datoh, Perak. Berbeza dengan kampung aku di Banting, kat sini biasanya ibadah korban dibuat secara sendirian di rumah. Macam belah2 Kelantan sana. Jiran-jiran dan kawan terdekat datang rumah untuk tolong buat ibadah korban tersebut.

Kampung ni kampung lama. Orang-orang muda dah tak ramai. Semua berhijrah ke bandar. Setiap tahun ada je rumah yang akan kosong dan tidak berpenghuni sebab orang tuanya dah meninggal dunia. Tetapi semangat mereka untuk sama-sama tolong lapah daging memang sangat dikagumi. Bila lihat muka mereka satu persatu, kekadang aku terfikir berapa tahun lagi kampung ni akan ada penduduknya. Sedih tapi itu realitinya.

Memandangkan hujan yang turun setiap hari, kawasan kampung banyak digenangi air termasuklah rumah ni. Tapi mujur air naik sedikit sahaja. Masih ada ruang untuk bekerja. Malah sepanjang korban dijalankan gerimis turun membasahi kitorang semua. Layan sikit suasana ibadah korban kat sini. Aku pegang parang ngan kamera. Jadi xdapat amik byk gambar.



Selepas selesai melapah dan menimbang daging, kitorang kena kira jumlah rumah untuk diagih-agihkan. Bayangkan seekor lembu ni boleh diberikan kepada lebih dari 3 buah kampung. Penduduk kampung ni pun tak sampai 15 rumah. Jarak antara rumah ‘sepelaung’ jauhnya. Sepelaung tu maksudnya kalau kita menjerit dari rumah kita, jiran terdekat boleh dengar sayup-sayup je suara kita :)

Semoga ibadah korban kita semua diterima Allah, insyaallah. Amalan seharian kita ni bukanlah banyak mana. Itupun belum tentu diterima Allah. Dengan banyakkan sedekah, menolong orang dan berbuat baik sesama manusia mungkin boleh menampung kekurangan ibadah harian kita. Wallahualam.



Nota kaki : Tahniah kepada TV1 dan Tv Al-Hijrah sebab banyak rancangan tentang ibadah haji tahun ni. Mak ngan abah tak pernah miss tengok ‘Salam Baitullah’. Orang-orang tua yang melapah daging ni pun asyik cerita pasal rancangan tersebut. Sudah tentu dalam bahasa Banjar :)



Wassalam.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe